Keuntungan sebelum cukai Astro Malaysia Holdings Bhd meningkat kepada RM608.716 juta untuk enam bulan berakhir pada 31 Julai 2017 daripada RM448.985 juta dalam tempoh yang sama pada 2016.

Pendapatan pada separuh pertama 2018 menokok kepada RM2.746 bilion berbanding RM2.791 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagi suku kedua tahun kewangan 2018, keuntungan sebelum cukai naik kepada RM339.216 juta daripada RM168.912 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2017.

Astro dalam satu kenyataan berasingan, berkata, purata hasil setiap pengguna (ARPU) dalam separuh pertama tahun kewangan 2018 melonjak kepada RM100.8, selepas didorong oleh langganan ke atas produk dan perkhidmatan yang memiliki nilai tambah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata pendapatan dari TV, radio dan platform digital, perbelanjaan pengiklanan (adex) dan e-dagang terus menunjukkan daya tahan.

"Margin dan keuntungan dalam suku kedua tahun kewangan 2018 mendapat manfaat daripada kos yang lebih rendah serta penjimatan sekali sahaja, timbul daripada kandungan yang datang dari terma-terma yang lebih baik.

"Kami terus mengembangkan jangkauan kami dengan memberi perkhidmatan kepada 5.3 juta atau 72 peratus daripada isirumah di Malaysia dan meningkatkan penglibatan pelanggan kami dengan 21 juta individu di rumah-rumah ini.

"Fokus tunggal kami sekarang ini ialah untuk memperluaskan lagi jangkauan isi rumah kami kepada peranti individu dan membentuk hubungan yang bersifat peribadi," katanya.

Tabiat penontonan melalui pelbagai skrin dan permintaan "On Demand" sudah mula mendapat momentum, Astro GO pula mencatatkan angka pengguna kepada 1.3 juta dengan masa tonton setiap minggu antara pengguna aktif berada pada purata 235 minit, katanya.

Rohana berkata, "Kita berada di landasan yang betul untuk mendigitalkan 75% operasi kami menjelang akhir tahun."

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu menjangkakan pertumbuhan pendapatan dalam tempoh terdekat akan diperkukuhkan lagi oleh e-dagang, adex, pendapatan penerbitan dan NJOI, perkhidmatan tv percuma Astro.

-- BERNAMA