Keyakinan terhadap vaksin terus merancakkan kaunter-kaunter farmaseutikal dengan Duopharma dan Pharmaniaga muncul antara saham yang mengaut keuntungan besar.

Pada pukul 10.46 pagi, Duopharma meningkat 28 sen atau lebih daripada sembilan peratus kepada RM3.38 dengan 14.3 juta saham bertukar tangan sementara Pharmaniaga menokok enam peratus atau 28 sen kepada RM4.77 dengan 2.6 juta saham diniagakan.

Berita mengenai penyambungan semula percubaan klinikal AstraZeneca terhadap vaksin COVID-19 di United Kingdom memberikan harapan.

Bagaimanapun, dilaporkan AstraZeneca belum mendapat lampu hijau daripada pengawal selia AS, Brazil dan Afrika Selatan untuk menyambung semula percubaan itu.

Percubaan itu dihentikan selepas para peserta mengalami gejala neurologi yang serius.

Dalam pada itu, kaunter sarung tangan kebanyakan berada dalam zon merah memandangkan laporan berhubung vaksin itu telah menyebabkan para pelabur menjual kaunter berkaitan, didahului oleh Top Glove yang kerugian 23 sen kepada RM8.35.

Top Glove juga mungkin terjejas oleh berita menyatakan pembekal peralatan pelindung diri (PPE) New Zealand telah menghentikan import sarung tangan pakai buang yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan berikutan kebimbangan mengenai buruh migran paksa, kata seorang penganalisis.

Kaunter lain yang turut mencatatkan kerugian ialah Supermax, susut 57 sen kepada RM8.43, Rubberex jatuh 32 sen kepada RM5.31 dan Comfort Gloves menyusut 26 sen kepada RM4.11.

Bagaimanapun, Hartalega kekal kukuh pada RM13.52, naik 52 sen dan Kossan 36 sen lebih tinggi pada RM11.46.

-- BERNAMA