KUALA LUMPUR : QSR Brands (M) Holdings Bhd yang merupakan pemegang francais KFC Malaysia mengakui mengambil langkah penutupan cawangan rangkaian makanan segera itu buat sementara waktu, selain memindahkan pekerja yang terjejas ke cawangan lain.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, QSR Brands dan KFC Malaysia, yang bertindak balas terhadap situasi ekonomi mencabar, telah mengambil langkah proaktif untuk menutup sementara sejumlah cawangan sebagai cara menguruskan kos operasi yang meningkat di zon perdagangan tinggi.

"Para pekerja di cawangan yang terjejas telah ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan yang masih beroperasi, sebagai sebahagian daripada strategi taktikal bagi mengoptimumkan sumber di zon perdagangan yang mempunyai penglibatan tinggi pelanggan.

"Menyumbang secara positif buat masyarakat Malaysia, memelihara rasa cinta jenama terhadap KFC dan melindungi pekerja jenama ini adalah menjadi keutamaan kepada organisasi,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, QSR Brands tidak mendedahkan jumlah cawangan KFC Malaysia yang telah ditutup dan bilangan pekerja yang terjejas.

"Sebagai syarikat yang telah menyantuni rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, fokus syarikat tetap kepada memberikan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada para pelanggan, selain menyumbang secara positif terhadap ekonomi negara menerusi peluang kerja untuk 18,000 orang di Malaysia, dengan 85 peratus daripada mereka merupakan pekerja Muslim," kata kenyataan itu.

QSR Brands pada masa sama terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di negara ini dan pihak syarikat, menurut kenyataan itu, berbangga kerana dapat memberi semula kepada masyarakat menerusi program KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami yakin bahawa rakyat akan mengiktiraf kehadiran kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya.