KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah intra hari pada Khamis berikutan sentimen pelabur kekal berhati-hati susulan aliran keluar dana asing yang berterusan, meskipun penurunan baru-baru ini membuka peluang belian murah bagi saham-saham mewah.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.33 mata atau 0.54 peratus kepada 1,708.36 daripada 1,717.69 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu yang dibuka 3.74 mata lebih tinggi pada 1,721.43, mencecah paras tertinggi intra hari 1,722.50 pada awal dagangan sebelum penurunan momentum sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 656 berbanding 508, manakala 565 kaunter tidak berubah, 989 tidak diniagakan dan 32 digantung dagangan.
Jumlah dagangan susut kepada 3.49 bilion unit bernilai RM3.70 bilion berbanding 4.15 bilion unit bernilai RM4.29 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup dalam wilayah negatif apabila dana asing terus mengurangkan pegangan dalam pasaran tempatan.
“Di peringkat serantau, indeks utama bercampur-campur, namun pasaran dipacu teknologi seperti di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan mencatat kenaikan kukuh susulan pendapatan lebih baik daripada jangkaan serta unjuran memberangsangkan daripada Nvidia, yang meningkatkan keyakinan terhadap perbelanjaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam jangka panjang.
“Walaupun dipengaruhi sentimen luaran yang positif, pasaran sedang pesat membangun terus berdepan tekanan jualan,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata sentimen pasaran dijangka kekal bercampur-campur dalam tempoh terdekat apabila pelabur terus memantau aliran dana asing, perkembangan kadar faedah global serta ketidaktentuan geopolitik.
“Bagaimanapun, sokongan institusi domestik serta sentimen yang semakin baik terhadap sektor berkaitan teknologi mungkin dapat mengehadkan risiko penurunan dalam tempoh terdekat.
“Kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,720 menjelang hujung minggu ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd susut dua sen kepada RM11.04, CIMB Group Holdings Bhd turun satu sen kepada RM7.75, IHH Healthcare Bhd merosot tujuh sen kepada RM8.92, manakala Public Bank Bhd dan Tenaga Nasional Bhd masing-masing tidak berubah pada RM4.77 dan RM14.46.
Bagi saham aktif, pendatang baharu Pasaran ACE, EI Power Holdings Bhd naik tujuh sen kepada 55 sen, SkyeChip Bhd menambah 12 sen kepada RM2.33, GIIB Holdings Bhd meningkat 4.5 sen kepada 39.5 sen, Zetrix AI Bhd susut satu sen kepada 82 sen dan Bumi Armada Bhd turun 3.5 sen kepada 33.5 sen.
Dalam kalangan kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries Bhd melonjak RM2.00 kepada RM46.20, Nestle (Malaysia) Bhd naik RM1.00 kepada RM96.00, Hong Leong Bank Bhd menokok 46 sen kepada RM22.20, UWC Bhd meningkat 44 sen kepada RM5.83 dan Ajinomoto (Malaysia) Bhd menambah 32 sen kepada RM13.26.
Bagi kaunter rugi utama pula, Kuala Lumpur Kepong Bhd susut 44 sen kepada RM20.22, Allianz Malaysia Bhd turun 40 sen kepada RM21.18, Petronas Gas Bhd merosot 28 sen kepada RM16.92, Petronas Chemicals Group Bhd susut 25 sen kepada RM5.45 dan Batu Kawan Bhd turun 28 sen kepada RM20.60.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 47.62 mata kepada 12,669.88, Indeks FBMT 100 turun 47.13 mata kepada 12,511.48, Indeks FBM Mid 70 meningkat 21.88 mata kepada 18,230.82, Indeks FBM Emas Syariah merosot 75.13 mata kepada 12,568.58 dan Indeks FBM ACE menambah 20.28 mata kepada 4,678.24.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 103.27 mata kepada 8,557.40, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.87 mata kepada 197.42, Indeks Tenaga merosot 15.58 mata kepada 776.91, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 10.56 mata kepada 20,022.97.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.84 bilion unit bernilai RM3.31 bilion daripada 2.32 bilion unit bernilai RM3.93 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 964.66 juta unit bernilai RM118.14 juta daripada 1.15 bilion unit bernilai RM140.12 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE menurun kepada 679.66 juta unit bernilai RM271.62 juta berbanding 685.47 juta unit bernilai RM223.24 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 201.28 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (319.44 juta), pembinaan (152.84 juta), teknologi (361.55 juta), perkhidmatan kewangan (82.02 juta), hartanah (235.22 juta), perladangan (31.76 juta), amanah pelaburan hartanah (8.95 juta), dana tertutup (15,500), tenaga (202.20 juta), penjagaan kesihatan (110.75 juta), telekomunikasi dan media (58.92 juta), pengangkutan dan logistik (32.12 juta), utiliti (46.38 juta) serta amanah perniagaan (51,500).
-- BERNAMA