ISTANBUL: Lebih 125,000 kes jangkitan kulit yang dikaitkan dengan tikus dan parasit dilaporkan di Semenanjung Gaza sepanjang lima bulan pertama tahun ini, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Serangan genosid Israel di enklaf terkepung itu menyebabkan penularan penyakit secara meluas serta peningkatan pembiakan tikus.
“Satu lagi krisis di Semenanjung Gaza. Tikus dan parasit semakin berleluasa. Jangkitan kulit semakin merebak. Risiko penyakit semakin meningkat,” menurut UNRWA menerusi platform X.
“Ratusan petugas perubatan UNRWA sedang merawat sekitar 400 kes setiap hari, namun mereka mampu melakukan lebih banyak sekiranya menerima bekalan ubat yang mencukupi,” menurut agensi itu.
“Lebih 125,000 kes jangkitan kulit berkaitan tikus dan parasit dilaporkan antara Januari hingga Mei 2026 di Semenanjung Gaza,” menurut UNRWA.
Agensi itu turut menegaskan kepentingan bekalan bantuan dibenarkan masuk ke Gaza dalam skala besar.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 877 rakyat Palestin terbunuh dan 2,602 lagi cedera sejak gencatan senjata diisytiharkan pada Oktober 2025.
Tentera Israel membunuh lebih 72,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 172,000 yang lain dalam serangan ke atas Gaza sejak Oktober 2023, menurut kementerian itu.
Walaupun gencatan senjata diumumkan pada Oktober lalu, Israel masih terus menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan yang dipersetujui ke wilayah itu, iaitu kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin, termasuk 1.5 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal, sedang menghadapi keadaan kemanusiaan yang amat kritikal.
-- BERNAMA-ANADOLU