Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bersiap sedia untuk menerima kehadiran orang ramai sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baru.

Dalam temu bual dengan Bernama, Pengurusnya, Sunif Naiman, berkata jumlah penumpang dijangka meningkat sebanyak lima peratus dalam cuti perayaan dan musim tahun baru kali ini.

Katanya, sejak KKIA menyatukan operasi syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia dengan syarikat penerbangan lain seperti China Southern Airlines dan Malaysia Airlines di terminal utama pada 1 Dis lepas, pergerakan penerbangan dan purata jumlah harian penumpang di KKIA telah meningkat daripada 8,000 penumpang kepada kira-kira 18,000 penumpang setiap hari.

"Untuk Disember, terminal ini dijangka menyaksikan peningkatan sebanyak 54,000 penumpang sempena Krismas dan Tahun Baru. Semua persiapan telah dibuat bagi memastikan operasi lapangan terbang berjalan lancar dan penumpang mendapat keselesaan.

"Malaysia Airports akan bekerjasama rapat dengan semua syarikat penerbangan, terutamanya AirAsia, untuk memastikan keselesaan penumpang terjaga terutama dalam tempoh puncak ini.

"Kami telah meningkatkan lagi komunikasi dengan semua pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan dan operator perkhidmatan, bagi memastikan semua kaunter daftar masuk, imigresen dan kastam berada pada tahap optimum," kata Sunif.

Beliau berkata KKIA dilengkapi sepenuhnya untuk memberi keselesaan kepada penumpang.

Ia mempunyai 64 kaunter daftar masuk untuk semua 16 syarikat penerbangan, tempat letak kereta yang luas (3,521 petak), 12 jambatan penghubung pesawat, kerusi yang mencukupi di ruang menunggu, pusat perubatan dalam terminal, mesin juruwang automatik, kedai pertukaran mata wang, perkhidmatan teksi dan kereta sewa, rangkaian perkhidmatan telekomunikasi dan kedai runcit, katanya.

"Kami bekerja keras untuk memastikan bahawa operasi berjalan dengan lancar dalam tempoh itu.

"Ini termasuk kebersihan di terminal. Kami akan memastikan kontraktor pembersihan kami akan meningkatkan kekerapan untuk membersihkan tandas serta kawasan terminal utama. Selain daripada itu, kami akan bekerjasama dengan polis untuk mengawal aliran trafik di kawasan ketibaan dan berlepas," kata Sunif.

Mengenai pertumbuhan masa depan, Sunif berkata KKIA sentiasa mencari ruang untuk berkembang.

"Berdasarkan unjuran pertumbuhan semasa sebanyak lima peratus dari tahun ke tahun, kami perlu mengambil masa antara lima hingga enam tahun untuk mencapai kapasiti sembilan juta penumpang.

Kajian kebolehlaksanaan yang berterusan sedang dibuat untuk memastikan bahawa terminal itu beroperasi dengan baik," katanya.