KAJANG: Industri pengeluaran air botol tempatan kini berdepan dengan ancaman kelangsungan operasi yang serius ekoran krisis geopolitik di Asia Barat yang mencetuskan gangguan rantaian bekalan bahan mentah plastik di peringkat global.
Presiden Persatuan Pengeluar Air Botol Malaysia, Lam Kah Kit berkata, situasi semasa bukan lagi sekadar melibatkan kenaikan kos pengeluaran, sebaliknya isu ketiadaan bekalan bahan mentah menjadi kekangan utama yang menjejaskan proses pengeluaran secara menyeluruh.
Advertisement
Beliau menjelaskan bahawa pengusaha mungkin boleh mengimbangi kenaikan kos dengan pelarasan harga jualan, namun tanpa bekalan mentah yang mencukupi, operasi kilang berisiko terhenti sepenuhnya.
“Soal bekalan sekarang sebenarnya lebih serius berbanding harga kos. Dalam perniagaan, kalau kos mentah saya tinggi, saya boleh jual tinggi sedikit. Tetapi sekarang masalahnya bekalan tiada. Jadi, macam mana mahu jual dan macam mana mahu proses?,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Kah Kit, kemampuan sesebuah syarikat untuk terus beroperasi pada masa ini bergantung sepenuhnya kepada saiz stok simpanan di kilang, di mana syarikat besar mungkin mempunyai stok untuk tempoh dua hingga tiga bulan, manakala pengusaha kecil hanya mampu bertahan selama dua minggu.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap nasib pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), terutamanya ahli persatuan di Sarawak yang terpaksa berdepan dengan kos logistik dan bekalan yang jauh lebih tinggi.
“Saya ada ramai kenalan di Sabah dan Sarawak, kos mereka 1.5 kali ganda lebih tinggi untuk mendapatkan bekalan. Apa yang lebih memeritkan, harga bahan mentah kini berubah tiga kali sehari... pagi satu harga, tengah hari satu harga dan petang harga lain. Pengusaha hanya diberi masa satu jam untuk membuat keputusan pembelian,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Kah Kit berkata keadaan menjadi lebih sukar apabila semua urusan pembelian bahan mentah kini memerlukan transaksi tunai sepenuhnya, sekali gus menjejaskan aliran tunai pengusaha yang tidak mempunyai modal besar untuk membuat pelaburan mengejut.
Susulan krisis tersebut, beliau memaklumkan pihak persatuan sedang merangka pertemuan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi memohon campur tangan kerajaan memandangkan bekalan resin polietilena tereftalat (PET) di Malaysia kini sangat terhad.
Katanya, penutupan operasi salah sebuah syarikat pengeluar PET tempatan telah menyebabkan pasaran kini hanya bergantung kepada sebuah kilang tunggal untuk membekalkan keperluan domestik.
“Kita memohon kerajaan mengkaji semula duti lambakan tinggi yang dikenakan sejak Mei 2025 terhadap pengimportan resin PET dari China dan Indonesia.
“Selain itu, kerajaan perlu memastikan pengeluar PET tempatan mengutamakan bekalan untuk pasaran domestik terlebih dahulu sebelum mengeksportnya ke luar negara,” tegasnya.
Kah Kit turut mempersoalkan perlindungan yang diberikan kepada pelabur asing tertentu sehingga menjejaskan lebih 300 syarikat air botol tempatan.
Menurutnya, pasaran perlu dibuka supaya pengusaha mempunyai lebih banyak pilihan import bagi menstabilkan harga dan bekalan.
“Kerajaan mesti masuk campur untuk membuka pasaran supaya industri dapat menstabilkan pengeluaran dan harga, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
“Industri ini telah berusaha keras mengekalkan harga rendah selama beberapa tahun. Memang sangat terkesan dan saya tidak nampak dalam jangka masa pendek isu ini boleh pulih seperti sedia kala sekiranya tiada tindakan drastik daripada pihak berkuasa,” katanya.