Skip to main content

Malaysia

RPM pastikan sistem pendidikan negara selari perkembangan AI - PM

JOHOR BAHRU, 24 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), beramah mesra bersama tetamu pada Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Tingkatan 6, di IPG Kampus Temenggong Ibrahim hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), beramah mesra bersama tetamu pada Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Tingkatan 6, di IPG Kampus Temenggong Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Pelan strategik Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 diolah bagi memastikan sistem pendidikan negara selari dengan tuntutan semasa khususnya dengan perkembangan teknologi yang kini menjurus ke arah kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bagi memastikan Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai ruang untuk memperbaiki sistem pendidikan dengan melihat masa depan.

Advertisement

Anwar, yang pernah menyandang jawatan Menteri Pendidikan, berkata pendekatan baharu itu perlu dilakukan namun pada masa sama, tidak menidakkan sistem terdahulu.

"Keadaan ketika itu dengan sekarang jauh berbeza... semasa saya jadi Menteri Pendidikan, pengajaran komputer baru dibicara, belum diperkenal lagi dengan lebih meluas.

"Sekarang bicara teknologi digital, AI, pusat data… (dahulu) itu tidak masuk dalam korpus bahasa... jadi, sebab itu mesti cepat menangkap perubahan, itu strategi pendidikan sekarang," katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan Enam di Kampus Temenggong Ibrahim di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Perdana Menteri juga berkata sehubungan dengan itu, semua pihak perlu pantas menguasai ilmu dan menyeru para pensyarah supaya turut sama memberikan rumusan berhubung pelaksanaan RPM.

"Pimpinan, pensyarah dan pelajar juga harus terima bahawa setakat yang kita capai ini belum cukup... jangan kita banding dengan negara miskin di Afrika, tentu kita menang... saya merasakan ada ruang untuk kita perbaiki," katanya.

Fadhlina sebelum ini berkata RPM 2026-2035 disifatkan sebagai satu lembaran baharu dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata rancangan itu merupakan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang dan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh mutu sistem pendidikan nasional.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video