MUNICH: Penyokong Bayern Munich terlepas daripada larangan memasuki stadium menjelang separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Badan induk bola sepak Eropah UEFA pada Khamis mengenakan denda hampir €90,000 (US$105,000) terhadap juara Jerman itu susulan beberapa insiden ketika kemenangan suku akhir menentang Real Madrid.
Advertisement
Pada penghujung aksi timbal balik kedua di Allianz Arena, penyokong Bayern memanjat pagar dan menuju ke kawasan tepi padang.
Selepas jaringan kemenangan 4-3 pada masa kecederaan, mereka menolak jurugambar yang berada di belakang papan iklan.
Beberapa wartawan terperangkap dalam kejadian itu. Menurut laporan polis, sekurang-kurangnya dua wanita dan dua lelaki cedera.
UEFA mengenakan denda €40,000 atas pencerobohan padang, €30,000 kerana penyebaran mesej tidak sesuai, €14,000 kerana menghalang laluan awam dan €5,625 kerana membaling objek.
Pengarah sukan Bayern Christoph Freund memohon maaf atas insiden berkenaan selepas perlawanan, namun meminta keadaan itu difahami.
“Ia satu kekecohan dan kami memohon maaf atas perkara itu,” katanya. “Tetapi ia malam bola sepak yang luar biasa dengan emosi yang tinggi. Kemudian keadaan menjadi sedikit tidak terkawal.”
Kelab dari Bavaria itu bernasib baik kerana terlepas daripada larangan separa kemasukan penyokong ke stadium bagi aksi timbal balik kedua menentang penyandang juara Liga Juara-Juara pada 6 Mei.
Selepas insiden berulang melibatkan penggunaan bahan piroteknik, tempat duduk penyokong di bahagian selatan Allianz Arena dikenakan larangan bersyarat pada Disember 2025.
-- BERNAMA-dpa