Korea Selatan, yang sedang menumpukan kepada industri modal tambah nilai dan intensif pengetahuan, boleh membuka lebih banyak peluang kerjasama kepada syarikat Malaysia, kata Duta Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Rohana Ramli.

Duta yang baru dilantik itu berkata terdapat banyak potensi menarik untuk kerjasama dalam bidang-bidang seperti elektronik, maklumat dan teknologi komunikasi berikutan kelebihan Korea Selatan dalam bidang-bidang terbabit.

"Korea Selatan juga menumpukan kepada ekonomi kreatif yang boleh diterokai oleh syarikat Malaysia untuk peluang kerjasama," kata beliau kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Rohana adalah duta wanita pertama Malaysia ke Korea Selatan. Beliau berkata, Malaysia mempunyai asas yang kukuh dalam produk dan perkhidmatan halal, pelancongan kesihatan, pelajaran dan kewangan Islam dan ini memberikan peluang kerjasama menarik kepada syarikat dari kedua-dua negara.

Rohana berkata, syarikat Malaysia yang telah kukuh di Korea Selatan adalah Berjaya Land, CIMB Group, eCosway Global, Boston F&B, Malaysia Airlines dan Triways.

"Syarikat ini terlibat dalam pembangunan harta, aktiviti kewangan, runcit, hospitaliti, perniagaan termasuk restoran dan industri penerbangan, dengan pelaburan berjumlah US$2.47 bilion (RM7.8 bilion), yang mana sebahagian besarnya (97 peratus) adalah dalam pembangunan harta," kata beliau.

Beliau berkata, projek Jeju Airest City-Berjaya Jeju Resort yang bernilai US$2.4 bilion (RM7.68 bilion) oleh Berjaya Group, adalah pelaburan langsung tunggal terbesar dalam industri pelancongan Korea Selatan.

Mengenai dagangan dua hala, beliau berkata Korea Selatan kini adalah rakan dagangan ke-10 terbesar, destinasi eksport ke-8 terbesar dan sumber import ke-8 terbesar bagi Malaysia.

"Jumlah dagangan untuk Januari-Julai tahun ini mencecah RM31.41 bilion. Gas asli cecair adalah eksport terbanyak ke Korea Selatan manakan import utama Malaysia adalah barangan elektrik dan elektronik," kata beliau.

Rohana berkata, pada 2012, Korea Selatan adalah pelabur kelima terbesar Malaysia dalam sektor perkilangan dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM1.6 bilion bagi 17 projek.

"Saya gembira melihat bagi tujuh bulan pertama tahun ini, pelaburan diluluskan telah mencecah RM2.7 bilion, jauh melebihi pelaburan yang dicatatkan tahun lepas," kata beliau.

Mengenai pelancongan, Rohana berkata, Malaysia kini semakin berkembang sebagai salah satu destinasi utama pelancong Korea Selatan.

Beliau berkata, tahun lepas, lebih 280,000 pelancong Korea Selatan melawat Malaysia dan lebih 178,000 rakyat Malaysia melawat Korea Selatan.