Skip to main content

Malaysia

PM Anwar sambut baik persefahaman AS-Iran, gesa pembukaan Selat Hormuz

anwar ibrahim
Anwar menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ke arah menamatkan permusuhan, serta pengumuman bahawa satu memorandum persefahaman akan ditandatangani dalam beberapa hari akan datang.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ke arah menamatkan permusuhan, serta pengumuman bahawa satu memorandum persefahaman akan ditandatangani dalam beberapa hari akan datang.

Menerusi satu hantaran di X hari ini, beliau berkata pembukaan semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa kini mesti dianggap sebagai perkara yang sangat mendesak, memandangkan selat itu merupakan laluan kritikal bagi keselamatan tenaga global dan perdagangan antarabangsa manakala gangguan berpanjangan tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak.

"Malaysia menggesa semua pihak untuk bertindak dengan niat baik, meneruskan proses tanpa berlengah dan menterjemahkan persefahaman ini kepada satu penyelesaian keamanan yang berkekalan.

"Pada saat yang genting ini, semua termasuk pihak luar mesti menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menggagalkan usaha diplomasi dan mencetuskan semula permusuhan," katanya.

Jelas Anwar, Malaysia bersedia untuk menyokong usaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan, serta menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengekalkan momentum itu.

Beliau juga menghargai usaha pengantaraan yang membawa pihak-pihak berkenaan ke tahap itu, khususnya mereka yang terlibat.

AS dan Iran pada Ahad mengumumkan memorandum persefahaman bagi menamatkan perang.

Presiden AS Donald Trump berkata menerusi media sosial bahawa beliau memberi kebenaran bagi pembukaan semula Selat Hormuz serta penamatan sekatan tentera laut AS, manakala majlis pemeteraian rasmi memorandum itu dijadual berlangsung pada 19 Jun.

Must Watch Video

Advertisement