Skip to main content

Dunia

Netanyahu boleh gagalkan pelan damai AS-Iran

Vessels anchored at the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, May 25, 2026. REUTERS/Stringer REFILE - CORRECTING INFORMATION FROM "VESSELS SAILING THROUGH THE STRAIT OF HORMUZ" TO "VESSELS ANCHORED AT THE STRAIT OF HORMUZ".
Kapal dagang dan kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz, laluan strategik perdagangan tenaga dunia yang menjadi tumpuan susulan ketegangan di Asia Barat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Warga dunia perlu berwaspada terhadap tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang dilihat lebih cenderung memilih pendekatan ketenteraan berbanding diplomasi dalam menangani konflik di Asia Barat.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UNIZA), Ferooze Ali Ahmad, berkata Netanyahu merupakan antara pemimpin Israel yang sukar dikawal oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Menurutnya, Netanyahu sering dibandingkan dengan bekas Perdana Menteri Britain semasa Perang Dunia Kedua, Winston Churchill, kerana imejnya sebagai pemimpin yang menonjol ketika negara berada dalam keadaan perang.

“Jika Memorandum Persefahaman (MoU) antara AS dan Iran berjaya dimeterai, maka peperangan dapat dielakkan. Israel juga tidak akan terlibat dalam konflik dan keadaan itu boleh menyebabkan populariti Netanyahu merosot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Agenda AWANI: Akhirnya Perjanjian Damai AS-Iran Dicapai yang disiarkan pada Isnin.

Sementara itu, Profesor Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Aminuraasyid Yatiban berpandangan, Israel berkemungkinan bertindak mensabotaj sebarang usaha ke arah perjanjian damai antara Washington dan Tehran.

Menurutnya, Israel dilihat tidak berminat untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian yang turut menyentuh isu serangan di selatan Lubnan sejak 2 Mac lalu.

Tambah beliau, walaupun Washington dilihat cuba menggunakan pengaruhnya untuk mengekang tindakan Israel, usaha tersebut dijangka berdepan cabaran memandangkan serangan masih berterusan.

Pada masa sama, Iran dijangka tidak akan berundur daripada pendirian ketenteraannya dan masih mempunyai keupayaan untuk memberi tekanan sekiranya rundingan damai gagal mencapai kata sepakat.

Kedua-dua penganalisis berpendapat kejayaan perjanjian damai AS-Iran penting bagi menjamin kestabilan Asia Barat serta mengurangkan kesan konflik global termasuk gangguan bekalan tenaga dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
 

Must Watch Video

Advertisement