KUALA LUMPUR: Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Kumpulan Naza) hari ini mengumumkan pengambil alihan penuh pegangan 100 peratus dalam Berjaya Enviro Holdings Sdn Bhd (BEnviro), sebuah pemain utama dalam industri pengurusan sisa.

Pengambilalihan ini membuka peluang unik kepada Kumpulan Naza untuk menceburi ekonomi hijau dan
memanfaat peluang pertumbuhan dalam sektor Sisa Pepejal Perbandaran (MSW), Sisa Terjadual (SW) dan sektor ‘Waste To Energy’ (WTE).

Pengambilalihan ini merupakan satu mercu tanda penting dalam halaju pertumbuhan Naza dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam Sektor Pengurusan Sisa Malaysia.


Ia juga melibatkan pengambil alihan tujuh entiti di bawah BEnviro, iaitu, BPJ-Berjaya Sdn Bhd, Berjaya Eco Services Sdn Bhd, Save the Sea Sdn Bhd, Berjaya Enviro Parks Sdn Bhd, Amita Berjaya Sdn Bhd, J&T Berjaya Alam Murni Sdn Bhd dan Berjaya Energies Sdn Bhd.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin, melalui pengambilalihan ini, Naza dapat menawarkan solusi menyeluruh untuk memenuhi keperluan pengurusan sisa Malaysia dengan memanfaatkan infrastruktur operasi yang luas, kemajuan teknologi, dan tenaga kerja berbakat BEnviro serta tujuh anak syarikatnya.

"Pengurusan sisa merupakan asas ekonomi hijau dengan potensi aliran pendapatan stabil, yang tidak terjejas oleh kitaran ekonomi.

"Pengambilalihan ini mencerminkan dedikasi dan komitmen Naza terhadap pertumbuhan strategik perniagaannya dengan menceburi dalam penyediaan solusi komprehensif pengurusan sisa, di samping memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar.

"Kumpulan Naza kini menerokai sektor-sektor baharu yang sejajar dengan visinya untuk pembangunan mampan, kecekapan sumber, dan penekanan kepada piawaian tertinggi dalam kebertanggungjawaban alam sekitar," kata Nasarudin dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Sektor Pengurusan Sisa, yang merupakan aspek penting ekonomi hijau dijangka mengalami pertumbuhan yang besar, sejajar dengan visi Naza.

Perniagaan pengurusan sisa mempunyai aliran pendapatan stabil yang dapat diramalkan dan tidak bergantung kepada kitaran ekonomi.

Kedua-dua faktor ini merupakan pertimbangan penting bagi Naza dalam pengambilalihan ini.

Naza juga dalam masa sama akan terus mengendalikan Bukit Tagar Enviro Park, sebuah taman eko pengurusan sisa berintegrasi seluas 659 ekar yang merupakan salah satu daripada tapak pelupusan sanitari terbaik di negara ini.

Bisnes ini juga termasuk operasi ‘gas-to-energy’ yang dapat memperkembangkan kapasiti dalam sektor pengurusan sisa terjadual.

Fokus utama Naza dalam bisnes baharu ini termasuk Sisa Pepejal Perbandaran, Sisa Terjadual, dan ‘Waste To Energy’ dengan memfokus kepada kebertanggungjawaban alam sekitar dan kelestarian jangka
panjang.