Pembelajaran dalam talian membuka peluang baharu buat semua institusi pendidikan tinggi dalam usaha melakukan transformasi walaupun ketika krisis kesihatan COVID-19 melanda dunia.

Menurut Pengasas BAC Education Group, Raja Singham, pihaknya telah mendapatkan maklum-balas daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi di dunia untuk mencari solusi terbaik menghadapi cabaran normal baharu sistem pendidikan.

Jelas Raja, hakikatnya terdapat pelbagai peluang baharu yang boleh diterokai oleh kesemua institusi pendidikan tinggi sehingga mendapat capaian pasaran luar negara.

"Semasa bulan April, kita (BAC Education Group) mendapat 600 penuntut baharu dan kebanyakan mereka datang secara dalam talian.

"Mereka ini diberitahu bahawa pembelajaran secara dalam talian ini mungkin bersambung setahun atau dua tahun lagi sehingga berakhirnya COVID-19.

"Saya fikir kita patut cuba sedaya-upaya yang ini mungkin merupakan satu cara transformasi dalam bidang pendidikan yang membawa kepada banyak peluang dan membolehkan dapat pasaran global," katanya kepada Astro AWANI dalam Program Niaga Awani, pada Rabu.

Tambah Raja, antara peluang yang ada merupakan penjualan secara dalam talian kursus-kursus yang ditawarkan.

"Eksport kursus-kursus Pendidikan Tinggi Malaysia ke seluruh ASEAN, Bangladesh, Pakistan, India dan banyak negara lain lagi.

"Mereka (pelajar) juga mencari pendidikan yang berkualiti dan ini membolehkan kualiti pendidikan negara meningkat," jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Raja menyatakan pihaknya akan melabur jutaan Ringgit untuk bergerak ke hadapan dan meningkatkan kualiti sedia-ada.

Bagaimanapun, beliau memohon agar mendapat insentif cukai agar teknologi dapat diterapkan supaya pelajar boleh belajar dimana sahaja.

"Mungkin Institusi Pengajian Tinggi Swasta boleh mendapat moratorium diberikan sama macam Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) kerana kita mempunyai bayaran gaji tenaga pengajar RM29 juta setahun manakala untuk semua kampus RM15 juta setahun dan semua kos ini adalah tetap.

"Kita baru sahaja melaksanakan Majlis Konvokesyen secara dalam talian dan selepas ini mungkin teknologi sijil blockchain dan selepas ini banyak kursus dalam talian akan meningkat.

"Kita berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus bertungkus-lumus mencari solusi bersama IPTA dan IPTS agar masalah ketika COVID-19 dapat kita atasi," ujarnya.

Bac Education Group mempunyai beberapa kolej termasuk Brickfields Asia College dan Veritas University College yang menawarkan antara ijazah sarjana muda dan sarjana dalam pelbagai bidang termasuk undang-undang, perniagaan dan kreatif.