KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mencadangkan 94 artikel dalam draf statut baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 2026 yang akan dibentangkan pada Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk bola sepak negara itu, Khamis ini.
Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John berkata cadangan perubahan itu adalah sebahagian daripada reformasi besar tadbir urus yang bertujuan memodenkan bola sepak Malaysia serta menyelaraskan FAM dengan standard tadbir urus antarabangsa yang diamalkan negara bola sepak terkemuka.
Antara perubahan utama yang dicadangkan ialah penstrukturan semula keanggotaan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang akan dikurangkan kepada 11 ahli berbanding 17 sebelum ini.
Menurut Windsor, di bawah statut dicadangkan itu, kelab yang bersaing di peringkat tertinggi bola sepak Malaysia, khususnya kelab Liga Super, selain kumpulan pakar mewakili jurulatih, pengadil dan pemain, akan diterima sebagai ahli Exco FAM yang mempunyai hak mengundi pada kongres.
“Kita mencadangkan satu kerusi untuk presiden, tiga kerusi naib presiden, tiga kerusi untuk persatuan bola sepak negeri, dua kerusi untuk kelab, satu kerusi wanita dan satu kerusi kumpulan pakar yang terdiri daripada persatuan pengadil, jurulatih atau pemain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Windsor berkata statut dicadangkan itu turut memperkenalkan syarat kelayakan lebih ketat kepada calon yang ingin bertanding jawatan dalam FAM.
Beliau berkata calon juga perlu memegang jawatan dalam pentadbiran bola sepak selama lima tahun berturut-turut, berusia bawah 70 tahun serta lulus beberapa tapisan latar belakang termasuk daripada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.
Beliau berkata semua keputusan biasa dalam kongres hanya memerlukan majoriti mudah atau “50 campur satu” untuk diluluskan, manakala pindaan membabitkan perubahan statut memerlukan sokongan majoriti tiga perempat.
Katanya sekiranya perwakilan tidak bersetuju dengan keseluruhan draf statut dicadangkan, sebarang bantahan terhadap pindaan perlu disertakan justifikasi kukuh serta cadangan alternatif.
“Anda tidak boleh hanya bangun dan berkata tidak setuju. Ketika undian nanti, anda boleh mengundi, tetapi anda perlu mengemukakan cadangan lain yang lebih baik.
“Apabila mengemukakan cadangan itu, anda perlu menjelaskan mengapa cadangan tersebut lebih baik daripada cadangan ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Windsor berkata AFC turut akan membentangkan audit kualiti pengurusan FAM yang akan diperjelaskan pada Kongres Luar Biasa FAM nanti.
Sehubungan itu, katanya satu pasukan khas AFC akan dibentuk dan diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC Vahid Kardany bersama beberapa perunding bagi menjalankan penilaian sebelum mengemukakan laporan serta cadangan penambahbaikan kepada FAM.
Januari lepas, semua ahli Exco FAM bagi penggal 2025-2029 mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai atas dasar kolektif dan sukarela.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan atau kedudukan peribadi, selain dilihat sebagai langkah berhemah dan berprinsip susulan situasi semasa yang mendapat perhatian umum berhubung isu pemain warisan serta bagi menjaga integriti FAM.
-- BERNAMA