BISNES
KUSKOP lancar misi perdagangan antarabangsa ke China perkasa jenama francais Malaysia

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan bersama wakil daripada PERNAS, MFA serta sembilan jenama francais terkemuka Malaysia. - Foto FB Ramanan Ramakrishnan
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) melancarkan misi perdagangan antarabangsa ke China bermula 8 hingga 10 Ogos ini.
Ringkasan AI
- KUSKOP melancarkan misi perdagangan antarabangsa ke China sempena Ekspo Francais China 2025, melibatkan sembilan jenama francais Malaysia seperti Marrybrown, Kenny Rogers Roasters dan Smart Reader Kids.
- Misi ini bertujuan membuka akses pasaran baharu untuk jenama francais tempatan melalui Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP), dengan rekod kejayaan terdahulu di Australia, Maghribi, Thailand dan UK.
- Delegasi Malaysia turut adakan perbincangan strategik bersama China Chain Store and Franchise Association (CCFA) untuk memahami kehendak pasaran dan meneroka kerjasama dua hala, selaras aspirasi menjadikan Malaysia hab francais ASEAN.
Antaranya jenama yang menyertai misi tersebut ialah Marrybrown, HOME Maths Therapy, Q-Dees, Smart Reader Kids, Midyson, US Pizza, Kenny Rogers Roasters, D'Sara Fried Chicken dan Happy Potato.
"Inisiatif ini bertujuan membuka akses baharu kepada jenama francais tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa khususnya China yang merupakan antara ekonomi terbesar dan paling pesat berkembang di dunia," kata kementerian itu menerusi satu kenyataan hari ini.
KUSKOP berkata penyertaan itu merupakan sebahagian daripada Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) yang dirangka untuk memperluas kehadiran francais Malaysia di peringkat global.
"Antara kejayaan terdahulu menerusi EFDP termasuklah Marrybrown di Australia, Global Art di Maghribi, Laundrybar di Thailand dan Little Caliphs di United Kingdom," katanya.
Sementara itu Ramanan berkata industri francais Malaysia memiliki potensi besar untuk berkembang di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, misi itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan jenama tempatan di luar negara, malah mewujudkan peluang kerjasama strategik bersama rakan niaga antarabangsa.
"KUSKOP komited untuk menjadikan jenama francais Malaysia sebagai pilihan utama di pasaran global," katanya menerusi kenyataan itu.
Menurut KUSKOP, misi perdagangan ke China itu merupakan misi sulung dalam kalendar EFDP bagi tahun ini.
"Ia akan disusuli dengan misi serantau ke Jepun, Kazakhstan dan Indonesia yang dijadualkan berlangsung sehingga Oktober 2025," katanya.
KUSKOP berkata sepanjang lawatan ke China, delegasi Malaysia turut mengadakan sesi perbincangan meja bulat bersama China Chain Store and Franchise Association (CCFA) bagi meneroka peluang kerjasama dua hala serta memahami dengan lebih mendalam kehendak pasaran francais tempatan.
"Penyertaan aktif dan berstrategik syarikat francais Malaysia dalam misi ini jelas mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan keyakinan tinggi pemain industri untuk bersaing di pentas antarabangsa.
"Usaha ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais utama di rantau ASEAN," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami