Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan takziah kepada Sultan Mizan Zainal Abidin atas kemangkatan adinda Sultan Terengganu.
- Baginda turut mendoakan agar roh Almarhum Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman dilimpahi keberkatan, rahmat dan diampunkan segala dosa.
- Tengku Baderul Zaman mangkat pada 1.20 pagi di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan sembah takziah kepada Sultan Mizan Zainal Abidin dan seluruh kerabat diraja Terengganu atas kemangkatan adinda Sultan Terengganu itu, Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar roh Almarhum dilimpahi keberkatan dan rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
“Salam takziah kepada Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan seluruh kerabat diraja Terengganu atas kemangkatan Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
“Dipanjatkan doa semoga roh Almarhum dilimpahi keberkatan dan kerahmatan serta diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” menurut hantaran itu.
Tengku Baderul Zaman dilaporkan mangkat pada 1.20 pagi tadi di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA