Skip to main content

Bisnes

Kutipan cukai negara catat sejarah, lepasi paras RM200 bilion tahun lalu

KOTA BHARU, 18 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Mini Konvensyen KEADILAN Kelantan 2026 hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar berkata, pencapaian tersebut menunjukkan keupayaan sistem percukaian negara yang terus kukuh. - Gambar fail

CYBERJAYA: Kutipan cukai langsung negara mencatat sejarah baharu mencecah RM203.991 bilion pada 2025, kali pertama melepasi paras RM200 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut menunjukkan keupayaan sistem percukaian negara yang terus kukuh walaupun sedang berdepan tekanan akibat konflik di rantau Asia Barat.

Advertisement

“Jumlah ini meningkat sebanyak RM19.186 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ia membuktikan keberkesanan tadbir urus dan usaha pematuhan cukai yang diperkasakan kerajaan,” kata Anwar menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika Majlis Sambutan Hari HASiL ke-30 Tahun 2026, di sini, pada Jumaat.

Tambah Anwar, kejayaan kutipan cukai ini merupakan asas penting bagi memastikan negara mempunyai ruang fiskal mencukupi untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi semasa.

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan institusi negara dalam mengurus hasil secara cekap.

“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kekuatan hasil domestik amat penting supaya agenda pembangunan rakyat dapat diteruskan tanpa menjejaskan kestabilan kewangan negara,” katanya.

Daripada prestasi kutipan kukuh ini, kerajaan memperuntukkan tambahan RM11.4 bilion bagi bayaran balik cukai tertunggak kepada syarikat secara lebih tersusun dan telus.  

Pencapaian berkenaan dilihat sebagai petunjuk positif bahawa ekonomi Malaysia masih mempunyai daya tahan tersendiri meskipun berdepan cabaran luaran yang rencam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata setakat 20 April tahun ini, sebanyak RM 1.275 bilion e-Invois sudah diterima membabitkan 224,831 perniagaan.

“Ia bagi perniagaan yang mengambil bahagian dalam pelaksanaan inisiatif e-invois bagi Fasa 1 hingga Fasa 4.

“Ketika ini negara masih berada dalam Fasa 4 pelaksanaan e-Invois yang bermula pada 1 Januari lalu, selain beberapa kelonggaran lanjut turut diberikan sehingga tahun 2027,” ujar Abu Tariq ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, selepas 30 tahun penubuhan HASiL, tumpuan kini beralih kepada usaha memperkukuh sistem percukaian negara melalui pendigitalan, analitik data dan pelaksanaan inisiatif baharu yang lebih cekap, antaranya menerusi e-invois.
 

Must Watch Video