KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM15.85 bilion pada suku pertama berakhir pada 31 Mac 2022, lebih rendah berbanding RM19.29 bilion pada suku yang sama tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, penurunan pendapatan itu didorong kemerosotan ketara pasaran dunia.

"Kami memulakan awal suku tahun pertama dengan kukuh, tetapi keadaan berubah dengan mendadak apabila pasaran global mengalami kemerosotan, menyebabkan pulangan yang lebih rendah dalam bon dan ekuiti sepanjang baki suku tahun pertama.

"Penurunan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkembangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik, serta kesan daripada kenaikan kadar inflasi dan kenaikan kadar faedah.

"Perang Rusia-Ukraine hanya memburukkan lagi keadaan, menyebabkan ketidaktentuan terus berlanjutan pada masa negara-negara masih bergelut untuk pulih daripada beban hutang yang tinggi dan kewangan awam yang terjejas oleh krisis pandemik," jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun jelas Amir Hamzah, meskipun penjanaan pendapatan daripada ekuiti menjadi penyumbang utama pendapatan KWSP, ia turut terjejas akibat kelembapan pasaran.

Ujarnya, KWSP berjaya memanfaatkan kedudukan portfolionya untuk menjana keuntungan tambahan sebanyak RM10.46 billon iaitu 66 peratus sumbangan ekuiti daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Daripada jumlah itu, pendapatan pelaburan bersih bagi kelas aset berjaya menjana RM9.37 bilion bagi suku pertama selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai.

"Sebanyak RM1.09 bilion telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tahun tersebut, sekali gus menjadikan jumlah pendapatan pelaburan bersih pada S1 2022 kepada RM14.76 bilion.

"Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemat untuk memastikan portfolionya kekal sihat," katanya lagi.

Bagi instrumen Pendapatan Tetap, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama
Taraf, serta Pinjaman dan Bon, ia menyumbang pendapatan tetap sebanyak RM4.75 bilion, atau
30 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar.

Ia lebih tinggi berbanding RM3.89 bilion pada suku yang sama tahun 2021.

Manakala Hartanah dan Infrastruktur pula mencatatkan penurunan dalam pendapatan kepada RM0.36 bilion daripada RM0.71 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang pula mencatatkan RM0.28 bilion, daripada RM0.38 bilion pada tempoh sama.

Sehingga Mac 2022, keseluruhan aset pelaburan KWSP jelasnya telah meningkat kepada RM1.02 trilion di mana 37 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Pada suku pertama tahun 2021, pelaburan luar negara KWSP menjana pendapatan sebanyak RM8.23 bilion, iaitu 52 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar direkodkan.

Bagi suku kedua pula, KWSP tambahnya akan mengambil langkah waspada dalam menangani risiko berkaitan pemulihan pasca pandemik serta ketegangan berlaku di Ukraine.

KWSP ujarnya optimistik dengan prospek pertumbuhan Malaysia susulan pembukaan semula ekonomi yang dijangka meningkatkan permintaan dalam dan luar negara sejajar dengan unjuran pertumbuhan Kerajaan antara 5.3 hingga 6.3 peratus bagi tahun 2022.

"Kami yakin dengan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Malaysia, seperti memastikan keterbukaan perdagangan dan mempelbagaikan asas eksport, untuk memastikan Pelan Pemulihan Nasional berada di landasan yang betul.

"Rizab antarabangsa negara yang kukuh dan sektor kewangan yang berdaya tahan adalah antara asas kukuh yang akan menyokong usaha pemulihan," jelasnya lagi.