Malaysia sasarkan tempat ke final, Thailand tekad buru emas

Sesi sidang media menjelang saingan Separuh Akhir Bola Sepak Lelaki Sukan SEA 2025 bagi perlawanan Thailand menentang Malaysia di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand. - Gambar Facebook FAM
BANGKOK: Malaysia menyasarkan untuk menempah tempat ke perlawanan akhir apabila berdepan tuan rumah Thailand dalam separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala, di sini esok.
Ringkasan AI
- Malaysia menyasarkan tempat ke perlawanan akhir Sukan SEA Thailand 2025 dengan berdepan tuan rumah Thailand dalam separuh akhir esok di Stadium Nasional Rajamangala.
- Ketua Jurulatih Harimau Muda, Mohd Nafuzi Zain, menekankan kepentingan perlawanan tersebut sebagai "final sebenar" dan pentingnya persiapan rapi serta disiplin dalam menghadapi Thailand.
- Ketua Jurulatih Thailand, Thawatchai Damrong-Ongtrakul, menegaskan azam pasukannya untuk memenangi pingat emas meskipun tekanan sebagai tuan rumah, dengan matlamat untuk gembirakan penyokong.
"Esok merupakan perlawanan yang sangat penting buat kami sebagai sebuah pasukan dan semua orang teruja untuk beraksi dalam separuh akhir ini. Bagi kami, ia terasa seperti final sebenar kejohanan," katanya kepada sidang media praperlawanan di sini.
Nafuzi mengakui kualiti yang dimiliki dalam skuad serta barisan kejurulatihan Thailand, namun menyatakan keyakinan terhadap kemampuan pemainnya untuk melaksanakan pelan permainan yang dirancang.
"Amat sukar untuk beraksi menentang Thailand. Mereka mempunyai jurulatih yang sangat baik serta pemain berkualiti, jadi kami perlu membuat persiapan rapi dan bermain mengikut cara permainan kami sendiri. Sama ada perlawanan berlangsung selama 90 atau 120 minit, kami perlu bersedia," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Thailand Thawatchai Damrong-Ongtrakul mengakui pasukannya berada di bawah tekanan sebagai tuan rumah kejohanan, namun menegaskan bahawa jangkaan tersebut diterjemahkan kepada azam dan tekad dalam usaha memburu pingat emas.
Beliau berkata tekanan itu terutama datang daripada para penyokong, namun fokus pasukan kekal sepenuhnya untuk memenangi kejuaraan.
"Sebagai tuan rumah, memang ada tekanan tetapi kami mahu menukar tekanan itu menjadi dorongan. Matlamat kami adalah untuk memenangi pingat emas dan menggembirakan para pemain serta penyokong," katanya.
Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi.
Kali terakhir skuad kebangsaan menamatkan saingan di podium adalah apabila mereka memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir esok menyaksikan Vietnam berdepan Filipina.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


