Keputusan kerajaan untuk memilih 'laluan kurang dilalui' dalam membangunkan ekonomi sejak 2009 telah terbukti berhasil," kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata, dengan melaksanakan pertumbuhan ekonomi sederhana dengan pelaburan swasta menerajui hala tuju serta melaksanakan langkah-langkah pengukuhan fiskal untuk kemampanan, Malaysia berjaya kekal dalam 'zon selamat' dari segi hutang kepada nisbah keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta paras defisit fiskal.

"Anda mengurangkan pinjaman kerajaan dengan lebih bergantung kepada sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan, dengan itu anda boleh mengekalkan paras hutang yang rendah dan mempunyai kedudukan fiskal yang mampan," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Perbincangan Meja Bulat Perkongsian Awam-Swasta di sini, hari ini.

Idris berkata, menurut Kumpulan Perunding Boston, negara di mana hutang kerajaan lebih 100 peratus daripada KDNK manakala paras defisit fiskal kurang daripada lapan peratus, negara itu akan berada dalam zon krisis.

"Sebab itulah Greece disebut sebagai negara bankrap kerana paras hutang yang terlalu tinggi sehingga defisit fiskalnya tidak mampan," katanya.

Idris berkata, Malaysia adalah antara beberapa negara yang menetapkan paras nisbah hutang kepada KDNK di bawah 55 peratus.

Defisit fiskal Malaysia dijangka menguncup kepada 3.1 peratus daripada KDNK pada akhir tahun berbanding 3.2 peratus pada akhir 2015, katanya.

Sementara itu, Idris berkata, Malaysia tidak lagi tersangkut dalam perangkap pendapatan sederhana kerana ia secara konsisten merapatkan jurang pendapatan negara kasar (PNK) yang ditetapkan tahap pendapatan tinggi Bank Dunia daripada 33 peratus pada 2009 kepada 16 peratus pada 2014.

"PNK berkembang daripada US$7,950 kepada US$10,760 (US$1 = RM3.99) antara 2009 dan 2015, mendekati sasaran pendapatan tinggi US$15,000 pada 2020," tambahnya.

Idris berkata, kerajaan yakin dapat merapatkan jurang itu dan mencapai sasaran berkenaan pada 2020 sepertimana ditetapkan dalam Program Transformasi Ekonomi.