Landasan kereta api China-Laos bantu tingkatkan perdagangan ASEAN-China

Perdagangan produk berteknologi tinggi antara China dan ASEAN muncul sebagai satu lagi pencapaian penting, dengan eksport barangan seperti kenderaan tenaga baharu melonjak lebih 285 peratus. - CMG via Bernama
BEIJING: Jumlah kargo yang dikendalikan melalui Landasan Kereta Api China-Laos mencapai rekod tertinggi sebanyak 4.506 juta tan dari Januari hingga Oktober, meningkat 12.8 peratus tahun ke tahun, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik laporan Kumpulan Media China (CMG).
Paling ketara, perdagangan produk berteknologi tinggi antara China dan ASEAN muncul sebagai satu lagi pencapaian penting, dengan eksport barangan seperti kenderaan tenaga baharu melonjak lebih 285 peratus.
Import buah-buahan ASEAN dan produk pertanian lain pula meningkat lebih 27 peratus.
Jumlah nilai kargo mencecah 22.07 bilion yuan China (AS$3.10 bilion), meningkat 45.1 peratus tahun ke tahun.
Seorang pakar menyatakan bahawa perkembangan ini mencerminkan pencapaian baharu di bawah kerjasama perdagangan bebas China-ASEAN, menurut laporan itu.
Sejak Landasan Kereta Api China-Laos mula beroperasi hampir empat tahun lepas, ia mengendalikan hampir 16 juta tan import dan eksport dengan nilai hampir 70 bilion yuan China (US$9.85 bilion) secara keseluruhan.
Sebagai projek utama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), landasan itu berperanan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan antara China dan negara anggota ASEAN, menurut pakar.
Baru-baru ini, lebih banyak isyarat positif muncul dalam keterbukaan perdagangan China-ASEAN, termasuk pemeteraian rasmi Protokol Penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) 3.0 pada 28 Okt, menandakan tahap baharu dalam kerjasama dua hala, menurut Kementerian Perdagangan China (MOFCOM).
Sejak 2022, perdagangan China-ASEAN mengekalkan momentum stabil, dengan nilai import dan eksport melebihi AS$900 bilion selama tiga tahun berturut-turut.
Menurut MOFCOM, dalam tempoh 10 bulan pertama 2025, perdagangan dua hala itu mencapai AS$862.7 bilion, meningkat 8.2 peratus tahun ke tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


