KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus hari ini adalah sejajar dengan jangkaan pasaran, kata MIDF Research.

Bank pusat menjelaskan ekonomi global kekal teguh, didorong oleh permintaan dalam negara yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang kukuh, menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Bagaimanapun, MIDF Research tidak menolak kemungkinan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas lagi pada separuh kedua 2023 berikutan angka ekonomi domestik yang memaparkan momentum positif.

Katanya BNM mungkin mengoptimumkan cabang monetarinya dengan menormalkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2.00 peratus kepada 3.00 peratus pada tahun ini.

"Kadar SRR telah dikurangkan kepada 2.00 peratus pada Mac 2020. Bagaimanapun, keputusan ini akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan seterusnya keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan yang berterusan di pasaran buruh dan permintaan dalam negeri yang semakin bertambah.

"Dari perspektif jangka sederhana, penormalan kadar dasar diperlukan untuk menghindarkan risiko yang boleh menjejaskan unjuran ekonomi masa depan melalui inflasi tinggi yang berterusan dan peningkatan seterusnya dalam keberhutangan isi rumah," katanya.

Dari segi ringgit, MIDF Research berkata pada asasnya mata wang tempatan dalam kedudukan baik berikutan ekonomi domestik kekal dalam momentum positif.

"Sebagai pengeksport bersih petroleum mentah, gas asli cecair dan minta sawit, Malaysia akan menerima manfaat daripada peningkatan harga komoditi global," katanya.

Bagaimanapun, katanya ringgit akan terus menyusut berikutan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat terus bertangguh untuk menghentikan seketika kadar faedahnya.

-- BERNAMA