KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia mencatatkan peningkatan kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, lebih tinggi berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dengan indeks harga pengguna (IHP) meningkat kepada 136.4 mata berbanding 134.1 mata pada Mac 2025.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan inflasi tersebut didorong terutamanya oleh kumpulan pengangkutan, yang mencatatkan lonjakan kepada 1.6 peratus berbanding penguncupan negatif 0.7 peratus pada Februari 2026.
Advertisement
Selain itu, inflasi turut disumbangkan oleh beberapa kumpulan utama lain antaranya penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan dan perkhidmatan yang melonjak 7.0 peratus, diikuti insurans & perkhidmatan kewangan (4.9 peratus), minuman alkohol & tembakau (2.7 peratus) serta restoran & perkhidmatan penginapan (2.6 peratus).
Kumpulan lain seperti kesihatan dan maklumat & komunikasi masing-masing meningkat 1.4 peratus, manakala perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain mencatatkan kenaikan 1.2 peratus.
Bagaimanapun, beberapa kumpulan perbelanjaan menunjukkan penyederhanaan, termasuk pendidikan (2.5 peratus), makanan & minuman (1.1 peratus) serta hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.1 peratus).
Sementara itu, pakaian & kasut merekodkan penurunan marginal kepada negatif 0.1 peratus pada Mac 2026.
Dari segi geografi, lapan negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional 1.7 peratus, dengan Pahang merekodkan inflasi tertinggi pada 2.5 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (2.4 peratus), Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (masing-masing 2.2 peratus) serta Sabah (2.1 peratus).
Sebaliknya, Kelantan mencatatkan inflasi terendah iaitu 0.7 peratus pada bulan berkenaan.
Bagi perbandingan bulanan, inflasi keseluruhan meningkat 0.3 peratus pada Mac 2026, sedikit lebih tinggi berbanding 0.2 peratus pada Februari 2026, dipacu oleh kenaikan ketara dalam kumpulan pengangkutan (2.1 peratus) dan maklumat & komunikasi (0.8 peratus).
Untuk suku pertama 2026, inflasi Malaysia meningkat kepada 1.6 peratus, lebih tinggi berbanding 1.3 peratus pada suku keempat 2025, sekali gus mencerminkan tekanan harga yang semakin ketara pada awal tahun ini.
Di peringkat serantau, kadar inflasi Malaysia pada Mac 2026 kekal lebih rendah berbanding Vietnam (4.7 peratus), Filipina (4.1 peratus), Indonesia (3.5 peratus) dan Korea Selatan (2.2 peratus), namun lebih tinggi berbanding China (1.0 peratus) dan Thailand yang merekodkan inflasi negatif (-0.1 peratus).