KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku pertama 2026 (ST1 2026), walaupun mencatat kadar pertumbuhan yang lebih sederhana berbanding 6.3 peratus pada suku keempat 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Laporan Anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Awalan yang dikeluarkan hari ini menunjukkan prestasi ekonomi negara terus disokong oleh sektor perkhidmatan yang kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan keseluruhan, dengan mencatat peningkatan 5.4 peratus, meskipun lebih rendah berbanding 6.3 peratus pada suku sebelumnya.
Advertisement
"Pertumbuhan sektor ini dipacu terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, sejajar dengan perbelanjaan pengguna yang kekal mampan," katanya.
Menurut laporan itu, daya tahan perbelanjaan isi rumah disokong oleh pasaran buruh yang stabil, peningkatan pendapatan isi rumah, serta pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan rakyat yang terus merangsang aktiviti ekonomi domestik.
Dalam tempoh sama, sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus, sedikit perlahan berbanding 6.1 peratus pada suku sebelumnya.
Prestasi positif ini sebahagian besarnya disokong oleh peningkatan pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal, selain produk berasaskan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan, serta aktiviti pemprosesan makanan.
Sektor pembinaan pula mencatat pertumbuhan yang lebih sederhana pada kadar 7.8 peratus, berbanding 11.0 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan sektor ini disumbang terutamanya oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas dan projek bangunan bukan kediaman yang berterusan.
Sementara itu, sektor pertanian berkembang 2.8 peratus, dipacu oleh prestasi positif subsektor kelapa sawit dan ternakan, meskipun kadar pertumbuhan lebih rendah berbanding 5.4 peratus yang direkodkan pada suku keempat 2025.
Sebaliknya, sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan penyusutan 1.1 peratus, beralih daripada pertumbuhan 2.0 peratus sebelumnya. Keadaan ini selari dengan pengeluaran yang lebih rendah bagi minyak mentah, kondensat dan gas asli.
Secara keseluruhan, ekonomi negara kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.