KUALA LUMPUR: United Kingdom (UK) semalam mengumumkan ia sudah memuktamadkan rundingan perdagangan dengan negara-negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) selepas melalui proses rundingan selama 21 bulan.

Pesuruhjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata blok itu mempunyai penduduk melebihi 500 juta orang dan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan mencecah GBP11 trilion pound dengan penyertaan UK.

"Rundingan berkenaan yang bermula pada Jun 2021 dimuktamadkan selepas siri rundingan yang mencabar di Vietnam dengan wakil dari semua negara-negara anggota CPTPP bersetuju bahawa UK telah mencapai kata putus berhubung proses penyertaannya untuk menyertai CPTPP," kata kenyataan itu.

UK adalah negara Eropah pertama yang menyertai blok perdagangan dinamik tersebut dan merupakan ahli baharu pertama sejak pembentukan CPTPP.

CPTPP kini menjadi perjanjian peringkat global dan bukan setakat perjanjian Pasifik sahaja, katanya.

Penyertaan UK ke blok perdagangan dinamik itu adalah susulan berita mengenai ratifikasi Malaysia pada November lepas, kedua-dua negara akan dapat meningkatkan capaian yang ketara kepada ekonomi dan pasaran masing-masing.

"Perniagaan UK yang mengeksport barangan dan perkhidmatan bernilai GBP3.3 bilion pound ke Malaysia dalam tempoh 12 bulan hingga akhir September 2022, boleh mendapat manfaat daripada perjanjian keutamaan yang ditawarkan oleh ahli CPTPP antara satu sama lain.

"Penyertaan UK dalam CPTPP juga bermakna capaian pasaran Malaysia yang jauh lebih baik kepada pasaran UK. UK mengimport barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira GBP2.6 bilion dari Malaysia dalam empat suku tahun hingga akhir suku ketiga 2022.

"Perniagaan dan pengguna boleh mendapat manfaat daripada tarif keutamaan yang akan ditawarkan oleh UK kepada Malaysia dalam CPTPP," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay berkata: "Perdagangan dua hala UK dengan Malaysia kini berjumlah GBP5.9 bilion, dengan trajektori pertumbuhan yang positif.

"Penyertaan UK dalam CPTPP akan meningkatkan capaian pasaran bagi UK dan Malaysia, dan terus membolehkan kami mencapai potensi penuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala," katanya dalam kenyataan yang sama.

Dalam pada itu, Setiausaha Perniagaan dan Perdagangan UK, Kemi Badenoch pula berkata: "Penyertaan kami dalam CPTPP menyampaikan mesej kuat bahawa UK terbuka untuk perniagaan dan akan menggunakan kebebasan pasca Brexit kami untuk menjangkau pasaran baharu, termasuk di rantau Asia Pasifik dan mengembangkan ekonomi kami."

"Menyertai blok perdagangan berpengaruh ini akan membantu kami membentuk peraturan perdagangan global dengan negara-negara yang berfikiran sama, dan bekerjasama lebih rapat dalam keutamaan bersama kami iaitu kemakmuran, keselamatan dan perdagangan bebas dan adil," katanya.

-- BERNAMA