KUALA LUMPUR: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ke Amerika Syarikat baru-baru ini, telah berjaya menghasilkan komitmen pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM63.02 bilion.

Selain itu, MITI dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, lawatan tersebut juga berjaya mencapai nilai potensi eksport banyak RM2.78 bilion dari Malaysia.

Kementerian tersebut berkata, delegasi Malaysia yang dikenali sebagai TIM USA - melibatkan wakil peringkat tertinggi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) - meliputi Chicago dan San Francisco, memberi tumpuan kepada teknologi tinggi, FDI bernilai tinggi, serta nilai dagangan tinggi perkhidmatan dan barangan negara.

“Perjumpaan bersemuka PM dengan gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Enovicand Tiktok, telah menghasilkan FDI berjumlah RM54.72 bilion bagi tempoh 10 hingga 15 tahun. Malaysia juga aktif mendapatkan pemain industri kenderaan elektrik (EV), termasuk Tesla.

“TIM USA - diketuai oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz - menghasilkan komitmen FDI RM8.3 bilion dari Abbot Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, dan Lam Research.

“Syarikat-syarikat ini terlibat dalam sektor seperti aeroangkasa, bahan kimia, E&E termasuk semikonduktor, farmaseutikal, teknologi bateri EV, peralatan kesihatan, sains kehidupan, perkhidmatan awan, dan logistik,” menurut kementerian itu lagi.

Selain itu MITI berkata, bagi eksport, Canadian Tire Corporation, Global Agri Trade Corporation, dan Unigen Corporation antara syarikat yang telah memberi komitmen dengan nilai eksport sebanyak RM2.78 bilion dari Malaysia.

Dalam kenyataan yang sama, Tengku Zafrul berkata: “Perkara yang sama penting (daripada lawatan ini) ialah pengetahuan dan kepakaran syarikat-syarikat ini bagi meningkatkan kerumitan ekonomi landskap pembuatan Malaysia, seperti yang ditetapkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Ini akan membantu menjana perniagaan tambahan nilai lebih tinggi untuk perusahaan kecil dan sederhana kami, dan pekerjaan yang lebih berkualiti dan bergaji tinggi untuk rakyat,” katanya lagi.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, MITI juga akan memastikan projek FDI tersebut akan melalui proses mudahcara dengan betul, menerusi platform pelaksanaan tertumpu pelaksanaan Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pelaburan & Perdagangan, dan Majlis Pelaburan Negara.