PEMAJU perumahan pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad menjangkakan tahun 2024 yang lebih positif dengan menyasarkan jualan hartanahnya sebanyak RM1.8 bilion.

LBS merancang untuk melancarkan 10 projek baharu di seluruh Lembah Klang, Johor dan Pahang tahun ini merangkumi 4,858 unit dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM2.33 bilion.

Bagi kawasan Lembah Klang, LBS menumpukan kepada pelancaran 2,960 unit hartanah dengan GDV berjumlah RM1.14 bilion, yang merangkumi 1,048 unit projek Idaman Perdana di LBS Alam Perdana.

LBS akan bekerjasama dengan syarikat pembinaannya, MGB Berhad, untuk melancarkan blok pangsapuri Rumah Idaman MBI (Idaman Cahaya 3, dengan 413 unit dengan jumlah GDV RM117 juta), rumah teres dua tingkat di Astella (79 unit dengan jumlah GDV RM75.6 juta), dan pangsapuri servis SkyRia di D’Island Residence (999 unit dengan jumlah GDV RM441 juta).


Selain itu, LBS turut merancang untuk melancarkan 421 unit merangkumi pangsapuri dan rumah bandar di Bandar Saujana Putra (GDV RM205 juta).

Projek baharu di Pahang pula melibatkan pangsapuri perkhidmatan Bayu Hills di Genting Highlands, (642 unit dengan GDV RM452 juta), diikuti 66 buah unit banglo di Rimbawan Acacia Garden, Genting Highland (GDV RM103 juta).

LBS juga merancang untuk melancarkan pembangunan bercampur terbesar di rantau ini, yang bakal menampilkan unit-unit pangsapuri perkhidmatan dan penawaran unit komersial (kedai dan restoran) yang terbesar di Centrum Iris, Cameron Centrum, Cameron Highlands.

Sementara di Johor, LBS bakal membangunkan 63 buah rumah berkembar dua tingkat di Imperial Garden, Bandar Putera Indah, Batu Pahat, Johor (GDV RM43 juta), juga projek Pangsapuri Saujana Indah di Taman Molek (393 unit, GDV RM177 juta).

“Kami menjangkakan landskap pasaran hartanah yang positif di 2024 dan akan terus mengutamakan tiga teras utama LBS iaitu Mampu Milik, Ketersambungan dan Komuniti.

“Sebagai pemaju yang mengutamakan rakyat, kami turut mengintai beberapa peluang sekali gus berusaha untuk melancarkan hartanah dengan jumlah GDV bernilai RM2.33 bilion di beberapa buah negeri.

“Kami akan terus menilai dan melaksanakan strategi yang sesuai demi memastikan operasi berjalan lancar dan terus kekal optimistik terhadap prospek pertumbuhan syarikat di tahun 2024,” kata Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San.

LBS telah mengakhiri 2023 dengan RM 1.701 bilion dalam jualan hartanah.

Sepanjang 2023, LBS telah melancarkan 4,358 unit bernilai RM1.67 bilion, merangkumi pembangunan di seluruh KITA Bestari di perbandaran KITA @ Cybersouth, rumah teres Astella di D’Island Residence, Puchong dan Blok B LBS Prestige Residence di Seri Kembangan.

Selain itu, tahun lepas juga menyaksikan LBS melancar dan mengadakan majlis pecah tanah di Idaman Cahaya, Shah Alam dan Idaman Sari, Puchong pada tahun 2023.

Kini, LBS mempunyai 19 projek pembangunan yang sedang berjalan, secara kolektif dengan anggaran GDV sebanyak RM5 bilion.

Sehingga 31 Disember 2023, simpanan bank tanah LBS meliputi kawasan seluas 2,767 ekar, suatu jumlah yang dijangka akan meletakkan LBS kekal bersaing bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Di samping itu, LBS mempunyai jualan belum dibil kira-kira RM1.99 bilion, memastikan jumlah jangkaan pendapatan yang jelas dan kukuh untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Maklum Hock San lagi, inisiatif ESG (Pemuliharaan Alam Sekitar, Tanggungjawab Sosial, dan Amalan Tadbir Urus) kekal sebagai fokus dan keutamaan LBS dan komited untuk bersama dalam usaha menjayakan matlamat Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

LBS juga berhasrat untuk memberi ganjaran berterusan kepada pemegang saham selaras dengan dasar dividen mereka iaitu membayar 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan.