KUALA LUMPUR:Hampir 47 peratus daripada 1.6 juta peminjam yang dihubungi pihak bank menyatakan mereka memerlukan bantuan termasuk sambungan moratorium.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu, 84 peratus sudah memohon bantuan dari bank masing-masing.

"Baki peminjam yang dihubungi pula menyatakan mereka belum pasti sama ada memerlukan bantuan bank pada masa ini.

"Peminjam ini masih boleh memohon di masa depan jika keadaan kewangan mereka berubah," kata BNM.

Tambah BNM, jumlah kelulusan bantuan bank kini mencecah 98 peratus dengan 40 peratus dari kelulusan itu melibatkan penangguhan bayaran dan baki adalah mengurangkan bayaran bulanan termasuk memilih untuk hanya membayar faedah buat masa ini.

Sementara itu jumlah peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memilih untuk kembali membayar pinjaman sebelum tempoh moratorium berakhir September lepas mencecah 900,000 peminjam.

"Nilai keseluruhan bayaran pinjaman sehingga akhir Ogos 2020 mencecah 70 peratus dari paras yang direkodkan sebelum pelaksanaan moratorium," kata BNM.

Selain itu sejumlah 67,000 individu dan PKS mendapatkan khidmat nasihat pengurusan hutang serta menyertai Program Pengurusan HUtang bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK).