KUALA LUMPUR: Lebih 85 peratus projek perkilangan yang diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2023 telah dilaksanakan setakat ini yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bagi tempoh itu, sebanyak 2,386 projek perkilangan telah diluluskan yang secara umumnya mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan, bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu projek terbabit.

"Kita akan memastikan kadar pelaksanaan penuh (menghampiri 100 peratus) pada tahun-tahun akan datang.

"MITI juga ingin mengiktiraf sumbangan dari pelbagai pihak di semua peringkat, termasuk pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta yang turut membantu dalam mempercepatkan proses pelaksanaan komitmen pelaburan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata antara projek yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh singkat iaitu kurang daripada 18 bulan termasuk Enovix Malaysia Sdn Bhd yang melibatkan tempoh kurang daripada enam bulan.

Ferrotec Manufacturing Malaysia Sdn Bhd pula telah menubuhkan fasiliti pengilangan pertama di rantau Asia Tenggara manakala Ultra Clean Technology (Malaysia) Sdn Bhd membuat pelaburan bagi meningkatkan kapasitinya di Pulau Pinang.

"Pelaksanaan segera dan tuntas bagi merealisasikan pelaburan diluluskan ini telah dilaksanakan melalui platform seperti Majlis Pelaburan Negara (MPN); Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) dan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan (ICCM).

"MIDA melalui Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK) juga komited untuk memastikan projek-projek perkilangan yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan segera," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga menyifatkan pencapaian pelaburan berjumlah RM329.5 bilion bagi 2023 sebagai mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara.

Menurutnya, peningkatan 35.1 peratus bagi pelaburan domestik juga mencerminkan keyakinan terhadap dasar-dasar Kerajaan MADANI.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata angka RM329.5 bilion itu merupakan jumlah pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah negara, meningkat 23.0 peratus daripada 2022.

-- BERNAMA