Ringkasan AI
- QL Resources merancang membuka 60 hingga 90 cawangan FamilyMart di Pantai Timur menjelang akhir tahun kewangan 2025.
- Pendapatan QL bagi tahun kewangan 2024 meningkat 7%, dengan keuntungan bersih meningkat 26%, disokong oleh prestasi positif dalam beberapa segmen utama.
- Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan QL untuk tahun kewangan 2025 dan 2026, tetapi mengingatkan tentang risiko inflasi kos, musim monsun buruk, perubahan peraturan penangkapan ikan, dan pengukuhan ringgit.
Penganalisis Kenanga Research, Cheow Ming Liang, berkata sasaran berkenaan adalah bertepatan dengan unjuran pembukaan 75 cawangan baharu oleh firma penyelidikan itu sebelum ini, dan mengekalkan komitmen sasaran jangka panjang untuk memiliki 600 cawangan menjelang 2027.
Beliau berkata, trajektori pertumbuhan QL adalah kekal stabil, disokong oleh pelbagai segmen, dengan penternakan bersepadu (ILF) dan pembuatan produk marin (MPM) dijangka mengekalkan pendapatan melalui permintaan yang stabil, subsidi kos dan kos input surimi yang lebih rendah.
"Selain itu, tumpuan segmen minyak sawit dan tenaga bersih (POCE) terhadap inisiatif tenaga bersih melalui BM GreenTech akan memacu pertumbuhan.
"Keyakinan pengguna dijangka bertambah baik dengan struktur gaji kakitangan awam yang baharu akan menyokong trajektori QL," katanya dalam nota penyelidikan,
Berita Harian melaporkan, pendapatan QL bagi tahun kewangan 2024 meningkat tujuh peratus dipacu prestasi perniagaan yang positif dalam beberapa segmen utama.
Pendapatan segmen MPM melonjak 3% disokong prestasi produk berasaskan tepung ikan dan surimi yang lebih baik disumbangkan harga eksport yang lebih tinggi.
Segmen POCE pula meningkat 13 % disebabkan peningkatan kemajuan projek dalam BM GreenTech.
Sementara itu, pendapatan segmen rangkaian kedai mudah dibeli (CVS) berkembang 26 peratus disokong pembukaan 38 kedai baharu yang menjadikan angka keseluruhan setakat ini kepada 395 cawangan.
Perolehan segmen ILF juga bertambah baik sebanyak 2.0 peratus hasil daripada jumlah jualan yang lebih tinggi walaupun pada harga seunit yang lebih rendah.
Berdasarkan pendapatan QL yang positif, keuntungan bersih kumpulan meningkat 26 peratus.
"Kami mengekalkan unjuran tahun kewangan 2025 kepada RM7.13 bilion dalam pendapatan dan untung bersih RM476 juta, manakala tahun kewangan 2026 pula masing-masing RM7.48 bilion (pendapatan) dan RM505 juta (untung bersih)," kata Ming Liang.
Bagaimanapun, Kenanga Research berkata, wujud risiko ke atas saranan 'prestasi pasaran' ke atas QL termasuk ketidakupayaan dalam penurunan inflasi kos dan musim monsun yang buruk.
"Perubahan dalam peraturan penangkapan ikan dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga memberi risiko kepada QL," katanya. - Dagang News