Skip to main content

Malaysia

Dua lelaki didakwa angkut 77 migran di Alor Setar

Migran Alor Setar
Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. - Foto Bernama

ALOR SETAR: Dua lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 77 migran bulan lepas.

Aliff Ezry Ismail, 35, dan Muhammad Izzudin Mustafa, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Advertisement

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai pemandu lori dan juruteknik, secara bersama telah mengangkut 77 migran yang diseludup menggunakan lori di tepi jalan berhampiran lampu isyarat di Taman Pelangi di sini, kira-kira 5.45 pagi pada 14 Mac.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Peguam Amnach Ee Niam mewakili Muhammad Izzudin manakala Aliff Ezry tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video