Tahap pemahaman terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat menjelang pelaksanaannya pada 1 April, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, kami mendapati tahap pemahaman dalam kalangan PKS semakin meningkat, daripada satu digit pada awal 2014 kepada 60 peratus," katanya.

Hafsah berkata sambutan positif itu menunjukkan program yang dijalankan oleh agensi kerajaan bagi mendidik PKS terhadap cukai enam peratus yang menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, membuahkan hasil.

Beliau berkata SME Corp sudah menjalankan banyak latihan dan bengkel bagi meningkatkan kepekaan dalam kalangan PKS. Tahun lepas sahaja ia melaksanakan kira-kira 92 program yang disertai lebih 2,000 peserta.

SME Corp juga bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain termasuk Lembaga Hasil Dalam negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan orang ramai memahami CBP," kata Hafsah.

Beliau berkata agensi kerajaan sudah mula melaksanakan program mendidik PKS sejak 2011 setelah kerajaan mengumumkan ia akan melaksanakan CBP selepas pilihan raya umum 2013.

"Berdasarkan pangkalan data kami, terdapat kira-kira 160,000 syarikat yang mencecah jualan melepasi RM500,000 dengan 98 peratus daripadanya terdiri daripada PKS.

"Dan bagi mengurangkan beban PKS mentransformasikan sistem sedia ada kepada CBP, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk mereka membeli dan menaik taraf sistem perakaunan dengan bantuan disediakan dalam bentuk e-baucar CBP bernilai RM1,000, katanya.

Namun, Hafsah kesal kerana jumlah PKS yang memuat turun e-baucar tidak selari dengan mereka yang menebus e-baucar berkenaan.

"Semua baucar sudah dikeluarkan namun saya kecewa kerana kadar penebusan dalam kalangan PKS masih rendah. Saya menggesa mereka menebus baucar masing-masing sebelum CBP dilaksanakan," katanya dan menambah syarikat boleh menebus e-baucar masing-masing dengan 181 vendor yang dipilih oleh kerajaan.

Sehingga 20 Mac, sejumlah 151,623 e-baucar dikeluarkan oleh kerajaan kepada PKS, namun hanya 89,525 ditebus.