Syarikat runcit utama mencatatkan keuntungan rendah dan kerugian dalam suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020, berbanding tempoh yang sama tahun lepas disebabkan impak teruk daripada pandemik COVID-19.

Syarikat seperti Amway (Malaysia) Holdings Bhd, Petronas Dagangan Bhd (PDB), 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dan Nestle (Malaysia) Bhd mencatatkan keuntungan bersih rendah pada Suku Kedua 2020.

Keuntungan bersih Amway menyusut kepada RM16.81 juta daripada RM18.49 juta, PDB (kepada RM3.51 juta daripada RM172.75 juta), 7-Eleven Malaysia (kepada RM1.03 juta daripada RM14.58 juta) dan Nestle (kepada RM105.53 juta daripada RM156.88 juta).

Sementara itu, Padini Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM16.84 juta pada suku kedua daripada keuntungan bersih RM54.42 juta manakala Berjaya Food Bhd mencatatkan kerugian bersih RM30.16 juta semasa suku tersebut.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, 7-Eleven Malaysia, Padini dan Berjaya Food berkata penurunan keuntungan bersih dan kerugian yang dicatatkan mereka adalah disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac yang menjejaskan permintaan pengguna dan mengehadkan operasi perniagaan. Ia diikuti PKP Bersyarat (PKPB) bermula 12 Mei sehingga 9 Jun, 2020, yang merangkumi sebahagian besar daripada tempoh pelaporan semasa.

Selain itu, Amway mencatatkan penyusutan keuntungan sebelum cukai sebanyak sembilan peratus kepada RM22.23 juta daripada RM24.48 juta.

Sementara itu, PDB berkata keuntungan sebelum cukainya bagi suku tersebut turun sebanyak RM89.8 juta kepada RM1.16 juta daripada RM237.62 juta, terutamanya disebabkan penyusutan perolehan daripada petrol dan diesel akibat penurunan harga Means of Platts Singapore (MOPS), diimbangi perbelanjaan operasi yang lebih rendah susulan aktiviti promosi dan pengiklanan yang berkurangan.

Dalam perkembangan lain, syarikat yang menjual emas seperti Tomei Consolidated Bhd memperoleh manfaat daripada pandemik ini berikutan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM1.89 juta daripada RM1.11 juta, disumbangkan terutamanya daripada peningkatan margin keuntungan kasar berikutan harga emas yang lebih tinggi.

Selain itu, keuntungan bersih Dutch Lady Milk Industries melonjak kepada RM21.23 juta daripada RM17.19 juta berikutan keupayaannya untuk beroperasi dalam kapasiti penuh.

Mengenai prospek masa depan, PDB menjangkakan operasi perniagaannya akan pulih secara berperingkat memandangkan kelonggaran pelaksanaan PKP dan perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula.

Amway dijangka mencatat pertumbuhan perolehan bagi tahun penuh berikutan peningkatan permintaan terhadap makanan tambahan untuk kesihatan, penjagaan rumah, penjagaan udara dan produk-produk yang sama seperti semasa COVID-19.

7-Eleven Malaysia mengunjurkan keadaan perdagangan akan pulih secara berperingkat menjelang separuh kedua tahun ini dan ia akan terus meninjau peluang untuk pertumbuhan dalam saluran lain dan membuat perubahan dalam penawaran produknya manakala Nestle optimis mencatatkan pemulihan yang progresif sepanjang PKPP, terutamanya dalam saluran HORECA dan yakin dapat merekodkan keputusan kukuh pada 2020.

Selain itu, Padini berkata tahun kewangan yang akan datang terus mencabar dan prospeknya masih tidak dapat dijangka berikutan impak penuh daripada COVID-19 tidak dapat ditentukan sehingga krisis kesihatan itu terkawal sepenuhnya.

Sebaliknya, Berjaya Food yakin dalam berhati-hati mencatatkan keputusan operasi kumpulan yang memuaskan pada tahun kewangan berikutnya yang berakhir 30 Jun, 2021 dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dikurangkan secara berperingkat dan pemulihan ekonomi.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata situasi dijangka bertambah baik secara berperingkat pada suku tahun berikutnya berikutan aktiviti ekonomi yang mula dibuka semula walaupun pada kadar perlahan.

"Kami percaya prestasi suku kedua 2020 bagi sektor runcit itu sejajar dengan penguncupan 18.5 peratus penggunaan swasta antara April dan Jun tahun ini.

"Kami berharap situasi akan pulih secara berperingkat berikutan dasar-dasar untuk memulihkan ekonomi domestik," katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA