KUALA LUMPUR: Imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia terus mencatatkan lebihan berjumlah RM15.2 bilion pada suku akhir 2021, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata lebihan akaun semasa pada suku keempat 2021 tersebut didorong oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi dengan pertumbuhan harga komoditi sebanyak dua angka.

Akaun barangan pula mencatatkan eksport bersih sebanyak RM51.8 bilion, tertinggi sejak suku ketiga 2008 yang berjumlah RM50.9 bilion.

Eksport barangan yang menyumbang 92.0 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia telah berkembang pada kadar lebih pantas dengan mencatatkan RM271.3 bilion daripada RM236.6 bilion pada suku sebelumnya, kata beliau dalam kenyataan Statistik Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Suku Keempat 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Mohd Uzir, pada masa yang sama, import barangan meningkat sebanyak 12.3 peratus suku ke suku kepada RM219.5 bilion.

Pada suku ini, barangan perantaraan, modal dan penggunaan telah diimport terutamanya dari China, Singapura dan Taiwan, kata beliau.

Selain akaun barangan, lebihan akaun semasa pada suku akhir tersebut turut disokong oleh defisit lebih rendah dalam akaun pendapatan sekunder iaitu RM1.4 bilion berbanding defisit RM3.1 bilion pada suku lepas.

Dalam pada itu, terimaan pula meningkat sebanyak 47.6 peratus kepada RM6.4 bilion berbanding suku sebelumnya berikutan aliran masuk kiriman wang yang lebih tinggi oleh rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara manakala bayaran turut meningkat kepada RM7.8 bilion berbanding RM7.4 bilion pada suku ketiga 2021.

Mengulas lanjut mengenai statistik imbangan pembayaran, Mohd Uzir berkata akaun perkhidmatan merekodkan defisit lebih tinggi sebanyak RM15.5 bilion pada suku keempat 2021 daripada defisit RM15.2 bilion pada suku lepas.

Menurutnya, eksport perkhidmatan meningkat sebanyak 10.1 peratus kepada RM23.6 bilion manakala import turut menokok sebanyak 6.6 peratus kepada RM39.1 bilion berikutan defisit lebih tinggi dalam segmen pengangkutan, telekomunikasi, komputer dan maklumat serta defisit berterusan dalam aspek perjalanan.

Selain itu, akaun pendapatan primer mencatatkan defisit lebih tinggi sebanyak RM19.7 bilion berbanding RM11.3 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan pendapatan diperoleh syarikat asing di Malaysia berjumlah RM53.8 bilion khususnya dalam pelaburan langsung.

Beliau berkata, sebahagian besar syarikat-syarikat ini terbabit dalam aktiviti kewangan dan sektor pembuatan dengan pendapatan itu kebanyakannya disalurkan ke Amerika Syarikat, Singapura dan Belanda.

Syarikat Malaysia di luar negara turut memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM35.6 bilion berbanding RM16.4 bilion pada suku sebelumnya, terutama pelaburan langsung dengan kebanyakan syarikat berada di Belanda, Singapura, dan Indonesia yang sebahagian besarnya terlibat dalam aktiviti kewangan serta sektor pertanian.

"Akaun kewangan berubah arah aliran untuk mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM2.2 bilion pada suku ini daripada aliran masuk bersih RM22.8 bilion pada suku sebelumnya.

"Ini terutamanya disebabkan oleh aliran keluar bersih dalam pelaburan lain yang mencatatkan RM14.0 bilion susulan daripada pemberian pinjaman antara bank dan penempatan deposit lebih tinggi oleh pemastautin dengan institusi kewangan di luar negara," kata beliau.

-- BERNAMA