Yen naik ke paras melebihi 155 berbanding dolar AS susulan kebimbangan campur tangan mata wang

Yen terus berada di bawah tekanan jualan selepas Gabenor Kazuo Ueda tidak memberikan perincian mengenai kenaikan kadar faedah pada masa hadapan.
TOKYO: Yen mengukuh seketika ke paras melebihi 155 berbanding dolar Amerika Syarikat pada Selasa berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan campur tangan mata wang oleh pihak berkuasa Jepun susulan kejatuhan yen baru-baru ini, lapor Kyodo News.
Walaupun Bank of Japan (BOJ) menaikkan kadar dasar penanda arasnya ke paras tertinggi dalam tempoh 30 tahun iaitu sekitar 0.75 peratus minggu lepas, mata wang Jepun itu terus berada di bawah tekanan jualan selepas Gabenor Kazuo Ueda tidak memberikan perincian mengenai kenaikan kadar faedah pada masa hadapan.
Kejatuhan yen bagaimanapun reda buat sementara waktu selepas Menteri Kewangan Jepun, Satsuki Katayama berkata pada Selasa yang kerajaan mempunyai "kebebasan sepenuhnya" dalam menangani penyusutan mendadak yen kebelakangan ini, sekali gus memberi isyarat kemungkinan campur tangan mata wang bagi mengekang turun naiknya.
Penganalisis kanan Sony Financial Group Inc., Kumiko Ishikawa berkata walaupun tekanan jualan yen berkurangan susulan amaran lisan daripada pihak berkuasa Jepun, masih terdapat ruang untuk yen terus menyusut.
Peserta pasaran dijangka meneliti ucapan Gabenor BOJ, Ueda, yang dijadualkan pada Khamis, kata peniaga, sambil menjelaskan yang pergerakan pasaran mata wang berkemungkinan menjadi tidak menentu berikutan dagangan yang tipis apabila ramai peserta pasaran bercuti sempena Krismas.
"Jika kenyataan Ueda dilihat bersifat 'hawkish' dan menyokong kenaikan kadar faedah tambahan, yen boleh mengukuh dengan ketara ke paras bawah 154. Namun, jika ia masih ditafsirkan sebagai 'dovish', peserta pasaran mungkin menekan mata wang itu ke bawah paras 158," kata Ishikawa.
Pada 5 petang, dolar diniagakan pada 156.07-08 yen berbanding 156.95-157.05 yen di New York dan 157.47-50 yen di Tokyo pada 5 petang Isnin.
Euro pula disebut harga pada AS$1.1778-1779 dan 183.83-87 yen berbanding AS$1.1754-1764 dan 184.57-67 yen di New York, serta AS$1.1729-1730 dan 184.72-76 yen di Tokyo lewat petang Isnin.
Hasil bon Kerajaan Jepun 10 tahun penanda aras berakhir turun 0.040 mata peratusan daripada penutupan Isnin kepada 2.040 peratus, apabila sebahagian pelabur membeli semula bon 10 tahun itu selepas hasilnya mencecah 2.100 peratus pada hari sebelumnya, paras tertinggi sejak Februari 1999.
Di pasaran saham, indeks Nikkei bergerak tidak menentu, ditekan oleh jualan saham pengeksport susulan pengukuhan yen yang mengurangkan keuntungan luar negara apabila ditukar semula ke yen.
Pelabur juga mengambil untung dalam saham teknologi berwajaran tinggi selepas indeks penanda aras Nikkei melonjak lebih 1,400 mata dalam dua hari dagangan lalu.
Pasaran, bagaimanapun disokong oleh saham bank dan kewangan lain yang terus mencatat pembelian berikutan spekulasi yang pendirian BOJ untuk menaikkan kadar faedah akan meningkatkan keuntungan mereka, kata penganalisis.
Purata Saham Nikkei 225 ditutup naik 10.48 mata, atau 0.02 peratus, daripada Isnin kepada 50,412.87. Indeks Topix yang lebih luas meningkat 18.08 mata, atau 0.53 peratus, kepada 3,423.25.
Di Pasaran Perdana peringkat tertinggi, kaunter yang mencatat kenaikan utama ialah pengangkutan udara, farmaseutikal dan firma sekuriti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


