KOTA KINABALU: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berharap kerajaan Persekutuan yang baharu akan melanjutkan inisiatif Baucar Perlindungan Tenang (PTV) tahun depan untuk golongan berpendapatan rendah.

Presidennya Loh Guat Lan berkata inisiatif itu diterima baik oleh golongan berpendapatan rendah sejak diperkenalkan tahun lepas dan mewujudkan kesedaran bahawa mengambil polisi insurans bukan sahaja penting malah kadarnya mampu dilanggan golongan tersebut.

"Kami merasa amat gembira kerana Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama Kementerian Kewangan menghasilkan inisiatif PTV, ia merupakan langkah yang sangat baik untuk golongan berpendapatan rendah. Golongan berkenaan secara amnya berpendapat bahawa polisi insurans itu mahal dan tidak mampu dilanggan mereka.

"Justeru, inisiatif PTV itu menangani salah tanggapan mengenai polisi insurans dan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan memilikinya," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan LIAM Sabah di sini pada Rabu.

Loh berkata idea inisiatif PTV adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan yang merangkumi semua kumpulan umur dan ia sudah pasti akan membantu memacu kadar penembusan pada peringkat kumpulan berpendapatan rendah.

Inisiatif yang bermula tahun lepas dengan pengenalan PTV RM50, dinaikkan kepada RM75 tahun ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia meneruskan perlindungan insurans hayat mereka melalui manfaat produk insurans Perlindungan Tenang.

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O'Dell berkata lebih 6 juta PTV telah ditebus sejak inisiatif itu diperkenalkan, jumlah lebih besar daripada jangkaan LIAM.

Beliau berkata tahun lepas, 1.7 juta baucar telah ditebus manakala tahun ini mencatatkan sebanyak 4.9 juta.

"Secara umumnya, langkah kerajaan memberi subsidi RM70 daripada baucar RM75 (tahun ini) memudahkan kumpulan sasar ini membuat keputusan untuk melanggan polisi. Tidak ada kelemahan mengenainya," katanya.

Dalam perkembangan lain, O'Dell berkata LIAM mempunyai rancangan dan aktiviti bagi memastikan objektif Pelan Tindakan Sektor Kewangan BNM 2022-2026 tercapai.

Beliau berkata tiga daripada lima teras dalam pelan tindakan itu kebanyakannya berkaitan dengan insurans yang LIAM berhasrat untuk menambah baik dalam bidang celik kewangan, kadar penembusan dan pendigitalan.

Kadar penembusan Malaysia masih agak rendah iaitu kira-kira empat peratus dan pelan tindakan itu menyasarkan 4.8 hingga 5 peratus daripada jumlah premium kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau juga berkata LIAM mempunyai inisiatif untuk memahami bagaimanan pembangunan kemahiran akan terjadi dalam tempoh 15 tahun akan datang, apakah pekerjaan yang kurang mendapat permintaan, digunakan semula atau pekerjaan baharu yang diperlukan oleh pasaran.

"Kami mahu mengetahui di mana jurang itu, mengetahui apa yang perlu kami rancangkan dan cuba menjadi proaktif untuk memastikan industri kami terus mencapai kemajuan seiring dengan keadaan semasa," katanya.

-- BERNAMA