KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan bahawa telah mengeluarkan Notis mengenai tawaran pengambilalihan secara sukarela bersyarat (Tawaran) kepada Lembaga Pengarah Boustead Holdings Berhad (BHB).

LTAT memaklumkan, dalam satu kenyataan, tawaran itu untuk baki 822,510,779 saham dalam BHB atau 40.58 peratus yang tidak dipegang oleh LTAT untuk tawaran tunai sebanyak RM0.855 seunit saham.

"Untuk makluman, BHB yang merupakan anak syarikat LTAT, di mana LTAT memiliki saham sebanyak 59.42 peratus ialah sebuah konglomerat pelbagai dengan perniagaan teras yang merangkumi sektor perladangan, hartanah, perindustrian, farmaseutikal, industri berat, perdagangan, kewangan dan pelaburan.

"Tawaran ini, adalah tidak bersyarat pada tahap minimum penerimaan kerana LTAT sudah memegang lebih daripada 50 peratus saham mengundi dalam BHB," jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun tawaran bersyarat itu jelas LTAT berlandaskan kelulusan Menteri Kewangan atas syor Bank Negara Malaysia (BNM) dan kelulusan BNM di bawah Seksyen 87 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Seksyen 99 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA).

Tawaran bersyarat itu turut berlandaskan pengecualian BNM daripada mematuhi Seksyen 110 FSA dan Seksyen 122 IFSA berhubung dengan keperlukan untuk LTAT atau syarikat yang dinamakan diluluskan sebagai syarikat pemegangan kewangan Affin Bank Berhad dan entiti berlesen yang berkaitan.

"Syarat-syarat ini mestilah dipenuhi dalam tempoh 21 hari selepas Tarikh Tutup Pertama, seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Pengambilalihan, Percantuman dan Pengambilalihan Wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Tawaran tersebut merupakan langkah signifikan bagi LTAT dalam pengambilalihan BHB yang membolehkan fleksibiliti untuk melaksanakan pelan pemulihan BHB bagi memastikan kemampanan Tabung untuk Angkatan Tentera serta pesara tentera, selaras dengan pelan transformasi LTAT yang sedang dilaksanakan," jelas LTAT.

Dalam pada itu, LTAT turut berkata, ia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memberhentikan atau mengstruktur semula pekerja Kumpulan BHB sebagai akibat langsung daripada tawaran tersebut.

Tawaran terbabit bukan tawaran mandatori untuk memperoleh semua baki saham mengundi dalam Affin Bank Berhad, Boustead Plantations Berhad, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad dan Pharmaniaga Berhad yang belum lagi dipegang oleh LTAT.

BHB pada Khamis mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman sebagai Pengerusi baharu bukan Bebas bukan Eksekutif Kumpulan.

Ahmad Nazim, 47, memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau adalah Sarjana J William Fulbright di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat di mana beliau menerima Sarjana Undang-Undang.