KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi untuk mengekalkan operasi sehingga akhir tahun ini walaupun terdapat kebimbangan yang meningkat mengenai kekurangan bekalan dan kenaikan harga minyak pada peringkat global.
Jaminan ini diberikan apabila wujud kebimbangan bahawa sebahagian syarikat penerbangan serantau dijangka berdepan kekangan bahan api seawal pertengahan tahun ini akibat gangguan bekalan.
Advertisement
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata kedudukan MAG disokong oleh perjanjian bekalan berasaskan kontrak di pasaran domestik dan antarabangsa.
“Kami telah memperoleh komitmen daripada pembekal kami sama ada di dalam atau luar negara. Sesetengah negeri dan negara mempunyai had tertentu dari segi pengambilan bahan api,” katanya pada sidang media mengenai Prestasi Kewangan 2025 MAG di sini hari ini.
Beliau berkata MAG telah mengoptimumkan pengurusan bahan api dengan memperoleh bahan api tambahan dari stesen terpilih untuk memastikan operasi tidak terganggu.
Pada masa yang sama, Nasaruddin berkata kumpulan itu giat menguruskan risiko kos melalui strategi lindung nilai bahan api yang berdisiplin untuk mengurangkan impak daripada turun naik harga.
-- BERNAMA