Skip to main content

Teknologi

Keuntungan operasi Samsung diramal meningkat 19 kali ganda dipacu permintaan cip memori AI

The logo of Samsung Electronics is seen at the company's store in Seoul, South Korea, April 15, 2025. REUTERS/Kim Hong-Ji/File Photo
Samsung menganggarkan keuntungan operasinya bagi tempoh April hingga Jun mencecah 89.4 trilion won (kira-kira RM239 bilion), meningkat sekitar 1,810 peratus berbanding 4.7 trilion won (kira-kira RM13 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu. -Gambar fail
Advertisement

SEOUL: Keuntungan operasi gergasi teknologi Korea Selatan, Samsung Electronics, diunjurkan melonjak kira-kira 19 kali ganda bagi suku kedua tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong permintaan kukuh terhadap cip memori untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI).

Lonjakan itu dipacu oleh peningkatan permintaan terhadap cip memori, termasuk memori capaian rawak dinamik (DRAM), memori kilat NAND dan memori jalur lebar tinggi (HBM), yang digunakan secara meluas dalam pusat data AI di seluruh dunia, lapor Amanz.

Samsung menganggarkan keuntungan operasinya bagi tempoh April hingga Jun mencecah 89.4 trilion won (kira-kira RM239 bilion), meningkat sekitar 1,810 peratus berbanding 4.7 trilion won (kira-kira RM13 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu juga melebihi keseluruhan keuntungan operasi syarikat bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mencerminkan pertumbuhan berterusan sektor semikonduktor berikutan ledakan pelaburan dalam teknologi AI.

Samsung dalam panduan pendapatan awalnya tidak mengeluarkan pecahan prestasi mengikut segmen perniagaan, namun pemerhati industri menjangkakan bahagian semikonduktor menjadi penyumbang utama kepada peningkatan keuntungan tersebut.

Peningkatan harga cip memori serta permintaan berterusan daripada syarikat pengendali pusat data AI dijangka terus menyokong prestasi syarikat itu dalam tempoh beberapa suku akan datang.

 

Must Watch Video

Advertisement