SERDANG: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mencatatkan potensi pelaburan bernilai lebih RM2.3 bilion menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai sepanjang 10 hari Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2026 yang berakhir semalam.
Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata nilai berkenaan menyumbang lebih 25 peratus daripada keseluruhan sasaran pelaburan RM8 bilion yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi MAHA 2026.
Beliau berkata pencapaian itu didorong strategi baharu pembangunan industri yang memberi tumpuan kepada pemprosesan hiliran dan penghasilan produk bernilai tinggi, selaras dengan permintaan pasaran.
“Ini termasuklah pembangunan produk inovasi bahan pemanis semula jadi berasaskan ekstrak nanas varieti SG1 dan MD2 bagi menggantikan gula dan stevia, khusus untuk pasaran kesihatan,” katanya kepada Bernama.
Mohd Khairuzamri berkata produk berkenaan dihasilkan menerusi penyelidikan berasaskan keperluan pasaran dengan kerjasama tiga pihak utama, iaitu LPNM, penyelidik dan pengusaha industri sejak peringkat awal pembangunan.
Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), LPNM akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan nilai industri nanas berikutan bekalan untuk pasaran eksport masih terhad walaupun Tahap Sara Diri (SSR) nanas negara kini mencapai 102 peratus.
Menurut Mohd Khairuzamri, pengeluaran nanas negara melebihi 500,000 tan metrik setahun daripada kira-kira 20,000 hektar kawasan penanaman, namun kekangan tanah di Semenanjung memerlukan penggunaan teknologi dan varieti baharu bagi meningkatkan hasil.
“Kita tak boleh meningkatkan pengeluaran melalui peluasan kawasan atau pembukaan kawasan baharu sebab di Semenanjung ini tanahnya terhad. Jadi, apa yang kita buat, kita bawa teknologi di atas tanah yang sama tetapi untuk pengeluaran yang lebih luar biasa.
“Contohnya, kita bawa varieti SG1 yang boleh ditanam dengan kepadatan lebih tinggi dalam tempoh lebih singkat. Jadi, kalau kita lihat dari segi jumlah pengeluaran untuk seekar yang boleh dihasilkan oleh SG1 ini, ia boleh mencapai sehingga 30 tan berbanding nanas lain, contohnya MD2 mungkin satu ekar itu lebih kurang dalam 20 ke 25 tan,” katanya.
Mohd Khairuzamri berkata Malaysia tidak berhasrat bersaing dengan negara seperti Filipina dan Indonesia dari segi jumlah pengeluaran kerana kedua-duanya mempunyai keluasan tanah yang jauh lebih besar.
Sebaliknya, beliau berkata Malaysia akan menukar naratif industri nanas dengan memberi penekanan kepada pengeluaran berkualiti premium yang mampu memberi nilai lebih tinggi kepada pengusaha.
Dalam pada itu, Mohd Khairuzamri berkata LPNM turut memberi perhatian kepada usaha menarik generasi muda menerusi Pameran dan Pertandingan Inovasi Nanas 2026 (Pinovas), dengan peringkat akhir dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 Nov ini.
Beliau berkata program yang telah menerima 44 penyertaan daripada sekolah menengah di seluruh negara itu adalah kesinambungan Projek Kebitaraan Nanas Sekolah, yang mendedahkan pelajar kepada penanaman nanas menggunakan kaedah fertigasi beg poli sebelum menggalakkan mereka menghasilkan produk inovasi makanan serta produk bukan makanan daripada sisa tanaman.
Peringkat akhir Pinovas akan melibatkan persaingan 10 peserta terbaik yang telah melalui fasa saringan dan pemilihan daripada jumlah penyertaan yang diterima.
Beliau berkata industri nanas tidak seharusnya dilihat lagi sebagai aktiviti sampingan kerana mempunyai potensi besar sebagai pemacu ekonomi dan menyumbang kepada peningkatan eksport negara.
“Nanas mungkin tidak seperti beras yang dimakan setiap hari tetapi peranan nanas adalah menyediakan kuasa beli kepada rakyat dan menanam nanas membolehkan rakyat menjana pendapatan yang mencukupi untuk mencapai keterjaminan makanan itu,” katanya.
-- BERNAMA