Skip to main content

Malaysia

Johor sasar 26,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda tahun ini - MB

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata unjuran itu menunjukkan peningkatan yang konsisten dari tahun ke tahun, hasil pelbagai inisiatif strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta penganjuran karnival kerjaya berskala besar seperti Johor Talent Development Council (JTDC) Mega Job Fair. - Gambar fail/BERNAMA
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata unjuran itu menunjukkan peningkatan yang konsisten dari tahun ke tahun, hasil pelbagai inisiatif strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta penganjuran karnival kerjaya berskala besar seperti Johor Talent Development Council (JTDC) Mega Job Fair. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Johor menjangkakan 26,000 peluang pekerjaan untuk golongan muda tahun ini hasil pertumbuhan ekonomi dan pelaburan bernilai tinggi.
  • Trend peluang pekerjaan di Johor meningkat konsisten, didorong inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan penganjuran JTDC Mega Job Fair.
  • Kerajaan negeri turut menekankan program reskilling dan upskilling agar tenaga kerja tempatan memenuhi keperluan industri bergaji tinggi.

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor menjangkakan 26,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada golongan muda di negeri itu tahun ini, susulan pertumbuhan pesat ekonomi serta kemasukan pelaburan bernilai tinggi.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata unjuran itu menunjukkan peningkatan yang konsisten dari tahun ke tahun, hasil pelbagai inisiatif strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta penganjuran karnival kerjaya berskala besar seperti Johor Talent Development Council (JTDC) Mega Job Fair.

Beliau berkata trend penawaran pekerjaan berkualiti di Johor juga terus melonjak ketara dengan 15,000 peluang pekerjaan dicatatkan pada 2022 sebelum meningkat kepada 17,000 pekerjaan (2024) dan 25,000 pekerjaan tahun lepas.

"Sebagai perbandingan, menerusi JTDC Mega Job Fair sahaja, sebanyak 3,000 peluang pekerjaan disediakan dengan 30 peratus daripadanya (1,000 peluang pekerjaan) adalah kategori gaji premium," katanya ketika berucap merasmikan penutupan JTDC Mega Job Fair di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata pencapaian cemerlang ekonomi Johor turut disokong oleh rekod pertumbuhan lapan peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang tertinggi dalam sejarah negara selain kutipan pelaburan mencecah RM110 bilion.

Beliau berkata angka-angka pertumbuhan makroekonomi itu perlu diterjemahkan secara langsung supaya semua rakyat khususnya golongan muda serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat merasai limpahan kemakmuran tersebut secara nyata.

"Angka-angka ini tidak boleh sekadar cantik di atas kertas, tetapi rakyat mesti merasai dan menikmati pembangunan yang berlaku di negeri ini," katanya.

Sejajar dengan usaha memperkasakan modal insan, Onn Hafiz berkata Kerajaan Negeri Johor turut menekankan kepentingan program peningkatan kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) supaya tenaga kerja tempatan memenuhi standard industri bergaji tinggi yang ditawarkan oleh sektor pembuatan canggih, logistik, tenaga, serta pusat data.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement