KUALA LUMPUR: Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan pergerakan penumpang sebanyak 7.8 juta pada November 2022, mencecah 67.8 peratus daripada paras pada November 2019.

Pengendali lapangan terbang itu dalam kenyataan pada Selasa berkata, untuk 11 bulan pertama tahun ini, rangkaian lapangan terbangnya merekodkan 74.3 juta pergerakan penumpang, mencapai 57.9 peratus daripada paras dicatatkan dalam tempoh sama pada 2019.

Malaysia merekodkan 5.2 juta pergerakan penumpang pada bulan lepas iaitu 59.8 peratus daripada paras ketika November 2019.

Sementara itu, sektor antarabangsa terus mencatatkan paras tertinggi baharu dengan merekodkan 2.2 juta penumpang dan mencapai 50.9 peratus daripada paras pada November 2019.

Sepanjang Oktober 2022, pergerakan penumpang mencatatkan peningkatan besar dari Asia Timur Laut, Pasifik Barat Daya dan Asia Selatan menerusi destinasi pasangan bandar seperti Hong Kong, Incheon, Haneda, Perth, Melbourne, Delhi, Hyderabad, Kathmandu dan Mumbai.

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ia turut menerima kehadiran Spring Airlines dari Nanning; AirAsia menyambung semula perkhidmatan ke Taipei manakala Air Mauritius dan Uzbekistan Airways menyambung kembali perkhidmatan ke Mauritius dan Tashkent mulai awal November 2022.

Bermula 1 Dis 2022, Cathay Pacific menyambung semula perkhidmatannya dari Hong Kong ke Pulau Pinang manakala Scoot Airlines memulakan semula operasi dari Singapura ke Kuantan.

"Untuk kali pertama sejak penularan COVID-19, sektor antarabangsa menyumbang 43 peratus daripada jumlah bahagian trafik pada November 2022. Peningkatan bagi bahagian antarabangsa kepada campuran domestik adalah yang tertinggi direkodkan oleh Malaysia sejak dilanda pandemik," menurut MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagi sektor domestik, sebanyak 2.9 juta pergerakan penumpang direkodkan pada November 2022, mencapai 68.9 peratus daripada paras ketika November 2019.

Purata jumlah faktor muatan Malaysia terus kekal melepasi paras 70 peratus sejak Mei 2022 dan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 10.2 peratus membabitkan pergerakan pesawat antarabangsa sepanjang Oktober 2022.

MAHB berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen merekodkan 2.7 juta jumlah pergerakan penumpang pada November tahun ini yang menghampiri paras sebelum COVID-19, mencapai 92 peratus daripada paras pada November 2019.

-- BERNAMA