LANGKAWI: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerima kehadiran lima syarikat penerbangan antarabangsa baharu ke Malaysia pada Januari dan Februari 2024, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan kesalinghubungan kepada pengembara selain mengukuhkan kedudukan lapangan terbang negara sebagai hab di rantau ini.

MAHB berkata, antara penerbangan baharu yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah Air Macau (NX) dari Macau (MFM), Loong Air (GJ) dari Hangzhou (HGH), Turkmenistan Airlines (T5) dari Ashgabat (ASB), dan Iraqi Airways (IA) ke Baghdad (BGW).

"Sementara itu, di lapangan terbang lain di negara ini, flydubai (FZ) kini menyediakan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) dari Dubai (DXB)," katanya dalam kenyataan semalam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamed Rastam Shahrom berkata, pengendali lapangan terbang itu menyaksikan peningkatan yang ketara bagi trafik udara berikutan inisiatif pembangunan laluan strategik proaktif yang dilaksanakan selepas pandemik.

"Dengan menganjurkan Routes Asia 2024 sekali lagi pada tahun ini, kami menyasarkan untuk menarik syarikat penerbangan baharu untuk memulakan operasi ke Malaysia, dan menggalakkan pihak lain untuk memperkenalkan laluan baharu atau kembali ke negara ini.

"Sepanjang tahun ini dan akan datang, kami telah mengenal pasti 17 syarikat penerbangan berpotensi daripada tujuh wilayah berbeza untuk beroperasi di Malaysia," katanya.

Routes Asia 2024 yang diadakan selama tiga hari di sini bermula Selasa, merupakan platform untuk syarikat penerbangan, lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan sektor penerbangan di rantau ini dari serata dunia untuk memupuk kerjasama dan meneroka peluang baharu di rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, MAHB berkata, pada Januari 2024, rangkaian lapangan terbang tempatan yang dikendalikan kumpulan itu merekodkan sebanyak 6.9 juta pergerakan penumpang, mencapai 83 peratus daripada paras 2019, manakala trafik antarabangsa mencatatkan 3.8 juta pergerakan penumpang, dan 3.1 juta pergerakan penumpang bagi sektor domestik.

"Pertumbuhan yang berterusan dalam trafik antarabangsa ini antara lain didorong oleh kemasukan tanpa visa selama 30 hari kepada rakyat China yang melawat Malaysia dan dasar pengecualian visa selama 15 hari kepada rakyat Malaysia yang melawat China, selain tambahan 25 penerbangan mingguan oleh rakan syarikat penerbangan.

"Selain daripada pengenalan syarikat penerbangan baharu, syarikat penerbangan seperti China Eastern Airlines (MU) mula mengendalikan empat penerbangan mingguan dari Beijing (PKX), manakala Etihad Airways meningkatkan kekerapan perkhidmatannya daripada setiap hari kepada dua kali sehari," katanya.

MAHB berkata, pada akhir Januari, sektor domestik mencatat peningkatan purata faktor muatan, iaitu melebihi 80 peratus, yang didorong oleh peningkatan aktiviti perjalanan semasa perayaan Tahun Baharu Cina, yang juga cuti sekolah.

"Secara keseluruhannya, lapangan terbang tempatan memainkan penting terhadap prestasi kumpulan bagi Januari 2024, iaitu menyumbang 69 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang, sebanyak 10.1 juta penumpang.

"Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turkiye, jumlah pergerakan penumpang terus melebihi paras tiga juta iaitu 3.2 juta penumpang, melepasi paras pada 2019 sebanyak 14.2 peratus.

"Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing sebanyak 1.7 juta dan 1.5 juta penumpang," katanya. - BERNAMA