KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menerima anugerah Kakitangan Penerbangan Terbaik Asia (Best Airline Staff in Asia) 2026 serta menduduki tempat ketiga bagi kategori Krew Kabin Terbaik Dunia (World's Best Airline Cabin Crew) pada Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax 2026.
Menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan pada Sabtu, Malaysia Airlines turut melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-21 dunia dalam kategori Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia (World's Best Airline).
"(Malaysia Airlines) melonjak daripada kedudukan keenam ke tempat kedua dalam kategori Perkhidmatan Lapangan Terbang Terbaik Dunia (World’s Best Airport Services), selain membuat penampilan sulung di tangga ke-18 bagi kategori Syarikat Penerbangan Kelas Perniagaan Terbaik Dunia (World’s Best Business Class Airlines).
"Malaysia Airlines juga naik empat anak tangga ke kedudukan ke-12 dalam kategori Syarikat Penerbangan Kelas Ekonomi Terbaik Dunia (World’s Best Economy Class Airlines), berbanding tangga ke-16 pada 2025.
"Dalam kategori Syarikat Penerbangan Paling Bersih di Dunia (World’s Cleanest Airline), syarikat itu meningkat ke kedudukan ke-11 daripada tangga ke-12 sebelum ini," menurut kenyataan itu.
Malaysia Airlines turut mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia (Best Airlines in Asia), dengan menduduki tangga ke-10 tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata pengiktirafan ini mencerminkan usaha kolektif warga kerja yang berganding bahu dalam menyampaikan layanan mesra Malaysia sepanjang perjalanan pelanggan.
“Kejayaan mencapai pencapaian penting ini selepas bertahun-tahun mencatatkan peningkatan konsisten dalam kedudukan global merupakan pencapaian besar bagi syarikat penerbangan nasional kita, sekali gus menjadi ganjaran langsung atas usaha gigih pasukan kami.
“Semangat dalam memberikan perkhidmatan yang mesra, prihatin dan konsisten inilah yang membezakan pengalaman bersama Malaysia Airlines,” ujarnya.
Malaysia Airlines berkata kejayaan berkenaan disumbangkan oleh lebih 20 penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan sejak dua tahun lalu.
Antaranya termasuk peningkatan standard penampilan kru kabin, penambahbaikan pengalaman penumpang kelas perniagaan, inisiatif mesra keluarga dan kanak-kanak serta pengenalan lebih 30 menu baharu dalam penerbangan.
Menurut syarikat itu, Malaysia Airlines juga terus memberi tumpuan kepada pembangunan produk dan penawaran kepada pelanggan termasuk program pembaharuan armada yang melibatkan perolehan 29 pesawat baharu, di samping mencapai sasaran memiliki 117 pesawat moden menjelang 2035.
Semua inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0) MAG yang menyasarkan pengukuhan kedudukan Malaysia Airlines sebagai antara 10 syarikat penerbangan terbaik dunia menjelang 2030.