Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Putrajaya, Nilai dan Bintulu catat peningkatan ketara bacaan IPU setakat 6 petang

PUTRAJAYA, 16 Ogos -- Pemandangan di Pusat Pentadbiran Kerajaan sedikit terjejas akibat jerebu hari ini.  Walau bagaimanapun, ketika gambar ini dirakam pada jam 12.00 tengah hari tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menerusi laman web APIMS (apims.doe.gov.my) masih mencatatkan tahap sederhana, iaitu 80.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Putrajaya merekodkan kenaikan 14 mata kepada 138 berbanding 124 pada jam 5 petang. Nilai, Negeri Sembilan turut meningkat 17 mata kepada 133 berbanding 116 sebelumnya, manakala Cheras di Kuala Lumpur naik kepada 152. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 6 petang hari ini, dengan beberapa kawasan termasuk Putrajaya, Nilai dan Bintulu mencatatkan peningkatan ketara.

Berdasarkan kemas kini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Serian di Sarawak kekal merekodkan bacaan tertinggi negara pada paras 178 bagi tempoh dua jam berturut-turut.

Kuching mencatatkan penurunan satu mata kepada 172, manakala Sri Aman meningkat kepada 169. Samarahan pula kekal dalam kategori tidak sihat dengan bacaan 164.

Perbandingan bacaan jam ke jam menunjukkan peningkatan ketara di beberapa kawasan di Lembah Klang dan kawasan tengah Semenanjung. Putrajaya merekodkan kenaikan 14 mata kepada 138 berbanding 124 pada jam 5 petang.

Nilai, Negeri Sembilan turut meningkat 17 mata kepada 133 berbanding 116 sebelumnya, manakala Cheras di Kuala Lumpur naik kepada 152.

Bintulu di Sarawak turut mencatatkan peningkatan apabila bacaan IPU naik kepada 121 berbanding 115 sejam sebelumnya.

Di Johor, Batu Pahat kembali ke kategori tidak sihat selepas bacaannya meningkat daripada 100 kepada 107.

Sementara itu, Batu Muda di Kuala Lumpur menunjukkan penurunan bacaan daripada 115 kepada 104, manakala Bukit Rambai di Melaka kekal dalam kategori tidak sihat pada paras 101.

Petaling Jaya di Selangor dan Tangkak di Johor masing-masing mencatatkan bacaan 100, iaitu pada had tertinggi kategori sederhana.

Di utara Semenanjung, Langkawi terus merekodkan bacaan IPU terendah negara pada paras 16, diikuti Kangar pada paras 19.

Orang ramai khususnya di kawasan yang mencatatkan peningkatan bacaan IPU dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka yang sesuai dan memantau bacaan semasa melalui APIMS bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.

Must Watch Video

Advertisement