KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAB) dijangka bakal menerima pesawat Boeing 737-8 pertamanya pada pertengahan November ini, selepas hampir empat bulan tertunda.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, penerbangan komersial pertama model itu dijadual pada lewat bulan ini dengan tumpuan laluan serantau.

Pesawat baharu itu memaparkan pelbagai penambahbaikan menarik sebagai sebahagian daripada rancangan pemodenan pesawat Malaysia Aviation Group (MAG).

Kesemua 25 pesawat 737-8 menerapkan rekaan moden dan kaya dengan warisan Malaysia melalui reka bentuk livery menyerlah dan kabin yang selesa dalam usaha kumpulan itu menambah baik pengalaman pelanggan secara keseluruhan.



Menurut syarikat penerbangan itu, livery pesawat ini membawa transformasi besar syarikat termasuk visi dan aspirasi Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan kebangsaan.

Logo ikonik ‘wau’ dihiasi dengan motif songket dalam warna emas yang elegan, sekali gus melambangkan visi syarikat untuk terus terbang tinggi membawa jati diri negara ke seluruh dunia.

Sama seperti pesawat B737-800 NG yang diperbaharui, pesawat 737-8 juga akan dilengkapi dengan sistem Hiburan Dalam Penerbangan (IFE) tanpa wayar syarikat, MHstudio, yang menyediakan pelanggan dengan lebih 500 pilihan hiburan atas permintaan serta pengalaman membeli belah peribadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, pengenalan pesawat 737-8 ini akan menetapkan standard baharu dalam penerbangan.

“Pengenalan pesawat 737-8 baharu kami, menetapkan standard baru dalam penerbangan, menggabungkan yang terbaik dalam budaya Malaysia, teknologi terkini, dan amalan mampan untuk mencipta pengalaman terbang yang tiada tandingannya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Mengekalkan identiti syarikat dalam membawa nama negara, rekaan kabin menerapkan motif songket pada sarung kerusi berwarna biru dan kelabu.

Butiran seni ini tidak hanya menambah daya tarikan estetika tetapi juga memberi penghormatan kepada budaya kaya Malaysia, membolehkan penumpang untuk meresap ke dalam warisan negara sejak saat mereka melangkah ke dalam pesawat.

Sebanyak 25 model 737-8 dijangka diserahkan secara berperingkat sehingga 2026.

Model ini sama seperti rangkaian 737-8 Malaysia Airlines yang lain, ia dijangka berfokus kepada penerbangan serantau termasuk sektor yang lebih jauh seperti Kuala Lumpur-Kathmandu, Colombo dan Hong Kong.