KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus merekodkan lebih 11 juta pergerakan penumpang dalam rangkaian lapangan terbangnya di Malaysia dan Turkiye bagi bulan kedua berturut-turut pada Ogos 2023.

Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan Malaysia menyumbang lebih 66 peratus atau 7.4 juta kepada 11.2 juta penumpang.

Operasi Turkiye pula mencatatkan 3.8 juta pergerakan penumpang -- peningkatan sebanyak tiga peratus daripada 3.7 juta penumpang yang direkodkan pada Julai 2023, menurut syarikat itu dalam kenyataan pada Selasa.

Di peringkat tempatan, lapangan terbang di Malaysia merekodkan 3.5 juta dan 3.9 juta penumpang masing-masing bagi sektor antarabangsa dan domestik pada Ogos 2023.

Purata jumlah pergerakan penumpang harian tertinggi bagi tahun ini setakat ini juga dicatatkan pada Ogos 2023 dengan 240,000 penumpang.

"Ini sebahagiannya didorong oleh enam pilihan raya negeri (dengan hari pengundian) pada 12 Ogos, cuti umum tambahan pada 13 Ogos pascapilihan raya yang diisytiharkan, dan sambutan Hari Kebangsaan yang serentak dengan cuti sekolah.

"Pergerakan trafik menunjukkan trend yang sama dengan tempoh prapandemik apabila trafik memuncak pada musim perayaan, cuti sekolah dan cuti umum, menunjukkan trend perjalanan beransur pulih," menurut MAHB.

MAHB memaklumkan lebih banyak syarikat penerbangan juga telah menyusun semula laluan mereka menerusi kumpulan kapal terbang yang tersedia dalam operasi, mendorong lebih banyak penerbangan digerakkan ke rantau Asia Timur Laut, serta penyambungan semula laluan ke destinasi prapandemik.

Pelbagai aktiviti syarikat penerbangan telah diadakan bulan lepas, seperti permulaan penerbangan harian Lombok-Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Surabaya-KLIA oleh syarikat penerbangan baharu, Super Air Jet, serta penerbangan harian Chennai-KLIA oleh Batik Air Indonesia, tambahnya.

Sementara itu, Batik Air Malaysia memperkenalkan penerbangan KLIA-Auckland sebanyak enam kali seminggu; penerbangan KLIA-Okinawa sebanyak empat kali seminggu dan penerbangan KLIA-Jeddah dua kali seminggu.

AirAsia pula menawarkan semula penerbangan bagi laluan KLIA-Vientiane dengan kekerapan empat kali seminggu dan Batik Air Malaysia memberikan semula perkhidmatan penerbangan harian bagi laluan KLIA-Hong Kong.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) turut meraih manfaat daripada penerbangan AirAsia ke Hong Kong sebanyak tiga kali seminggu yag baru dilancarkan, selain penerbangan harian ke Kuala Namu oleh Batik Air Indonesia.

MAHB menjelaskan bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istanbul, Turkiye, jumlah pergerakan penumpang adalah sebanyak 3.8 juta penumpang, melebihi paras 2019 pada Ogos 2023, dengan peningkatan 8.4 peratus daripada angka yang dicatatkan pada bulan sama 2019.

Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 1.9 juta pada Ogos 2023.

"Momentum pertumbuhan trafik yang mampan ini didorong oleh perjalanan sempena percutian musim panas, pengembangan laluan syarikat penerbangan dan penyambungan semula penerbangan ke destinasi Asia Timur Laut.

"Sepanjang bulan itu, syarikat penerbangan tambang rendah Turkiye, Pegasus dan Anadolujet juga telah memperkenalkan perkhidmatan di laluan baharu ke Kastomonu, destinasi domestik dengan kekerapan masing-masing sekali seminggu," tambah MAHB.

-- BERNAMA