KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh menegaskan bahawa bekalan bahan api negara masih stabil dan mencukupi.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak panik dan meneruskan pembelian seperti biasa.
Advertisement
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keadaan kekal terkawal dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Berhubung gangguan bekalan sementara di segelintir stesen minyak, Fuziah berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak industri sedang memantau perkara itu secara rapi.
Beliau berkata langkah pemulihan bekalan juga sedang dilaksanakan dengan segera.
Terdahulu, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan kemungkinan terdapat peningkatan permintaan sementara yang mengakibatkan kekurangan bahan api secara sementara di beberapa stesen.
Syarikat itu menyatakan pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan bekalan di stesen terlibat secepat mungkin.
-- BERNAMA