BISNES
Malaysia berpotensi jadi pintu masuk Republik Kyrgyz ke ASEAN - Liew Chin Tong

Malaysia yang juga pengeksport semikonduktor keenam terbesar global, berpotensi menjadi pintu masuk Republik Kyrgyz ke rantau ASEAN, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia yang juga pengeksport semikonduktor keenam terbesar global, berpotensi menjadi pintu masuk Republik Kyrgyz ke rantau ASEAN, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Sebagai timbal balas, Malaysia dapat memanfaatkan kekuatan republik itu sebagai pintu masuk ke rantau Asia Tengah, katanya.
Republik Kyrgyz yang dikelilingi daratan dan bersempadankan Kazakhstan, China, Tajikistan dan Uzbekistan, merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah dengan nilai dagangan dua hala mencecah US$8.74 juta (RM40 juta).
"Sebelum ini, Malaysia sering dipaparkan sebagai sebuah negara dagangan tetapi sebenarnya ia adalah negara dengan teknologi pertengahan yang sofistikated. Ini termasuk menjadi pengeksport semikoduktor keenam terbesar di dunia."Malaysia dan Republik Krygyz juga mempunyai pendirian berkecuali dalam aspek geopolitik. Pendirian sedemikian adalah penting ketika dunia beralih daripada unipolar kepada kuasa multipolar," katanya dalam sesi pertemuan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov dengan komuniti perniagaan Malaysia di sini, hari ini.
Pada masa sama, Liew turut menekankan komitmen Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama dengan republik itu.
"Menerusi sokongan bermakna daripada kepimpinan Kyrgyz, Malaysia yakin kita dapat meneroka serta memanfaatkan banyak peluang bersama demi masa depan lebih cerah dan sejahtera untuk rakyat kedua-dua negara," katanya.
Presiden Zhaparov mengadakan pertemuan dengan wakil beberapa syarikat Malaysia bagi meninjau peluang kerjasama perniagaan serta pelaburan antara kedua-dua negara.
Pertemuan selama sejam itu turut menyaksikan pertukaran dokumen antara syarikat Malaysia dan Kyrgyz, merangkumi sektor seperti perlombongan dan penternakan.
Pemimpin itu yang tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi dua hari, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya pagi ini dan disusuli mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zhaparov turut melawat Parlimen sebelum berlepas pulang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami